RENCANA

Gelaran keempat semakin hampir buat Hamilton

Syamil Izwan Azizan 09/10/2017 | 03:27 MYT
Kejayaan pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun di Suzuka meletakkannya di kedudukan terbaik untuk merangkul trofi kejuaraan keseluruhan pelumba musim 2017.
Ia berikutan kegagalan pencabar terdekatnya, Sebastian Vettel daripada pasukan Ferrari untuk menamatkan saingan, kali kedua dalam tiga perlumbaan terakhir sejak GP Singapura.
Malah kerja keras yang dilakukan Vettel untuk tamatkan perlumbaan di tempat keempat saingan GP Malaysia selepas memulakan perlumbaan di petak terakhir juga menjadi sia-sia selepas apa yang berlaku di Suzuka.
Berbaki empat perlumbaan untuk diharungi, Hamilton kini selesa dengan punyai kelebihan 59 mata di hadapan Vettel.
Nyata kejayaan di Suzuka memberikan satu kelegaan buat Hamilton kerana jentera Mercedes tahun ini tidak konsisten berbanding beberapa musim terdahulu.
Ferrari dan juga Red Bull menerusi gandingan Max Verstappen serta Daniel Ricciardo lebih mengancam tetapi kegagalan mereka manfaatkan kelebihan menyaksikan Mercedes sekali lagi jadi pilihan untuk memburu gelaran pelumba dan pengeluar keseluruhan.
Kini segalanya berada dalam jangkauan Hamilton untuk merealisasikan gelaran dunia peribadi keempat dan yang ketiga bersama Mercedes andai dapat elak sebarang masalah mahupun kesilapan yang mampu buka peluang kepada pencabar yang lain.
Namun penulis masih mengharapkan ada kebangkitan daripada Vettel supaya persaingan sengit dapat diteruskan menuju ke perlumbaan terakhir di Abu Dhabi nanti.
;