Gaya "cakar harimau" Ridzuan Puzi jadi aksi bertaraf dunia

Adam Zamri
September 15, 2016 08:26 MYT
Untuk menjadi seorang atlet bertaraf dunia, selain mempamer aksi terbaik di atas gelanggang, atlet itu juga kadang-kala perlu mempunyai gaya tersendiri untuk memikat para penyokong.
Itulah juga yang dipamerkan atlet-atlet bertaraf dunia seperti Usain Bolt dengan aksi “Lightning Bolt” yang diinspirasikan di dewan tarian di Jamaica, Lin Dan dengan gaya tabik hormat ala tentera, Cristiano Ronaldo, pemain bola sepak yang meraikan jaringannya dengan gaya “This is Me”, dan tidak ketinggalan, pemain bola keranjang NBA, LeBron James, dengan aksi menepuk serbuk putih sebelum perlawanan.
Dan kini, pelari pecut sensasi negara, Mohamad Ridzuan Puzi, menyertai senarai atlet dunia yang mempunyai gaya atau dalam bahasa Inggerisnya, 'trademark' tersendiri selepas meraih emas pertama Malaysia dalam saingan akhir 100 meter T36 di Sukan Paralimpik Rio.
Apabila pengulas memperkenalkan Ridzuan sambil menggelarnya “The Malaysian Tiger”, dengan membuat mimik muka harimau sambil tangannya melakukan cakaran, Ridzuan memperagakan aksi “Cakar Harimau” di depan kamera.
Kenapa “Cakar Harimau” jadi pilhan Ridzuan?
Ridzuan menjelaskan pemilihan itu dibuat secara simbolik terhadap ketangkasan haiwan itu, dan simbolik haiwan itu terhadap Malaysia. Harimau Malaya merupakan spesies haiwan yang hanya boleh ditemui di Semenanjung Malaysia.
Aksi itu telah pun diperagakan Ridzuan ketika Sukan Sukan Para Asean 2015 di Singapura.
Jurulatihnya, R. Jeganathan, tidak ada masalah dengan gaya anak didiknya itu asalkan ia tidak mengganggu fokus Ridzuan di atas trek.
Menguruskan atlet kelainan upaya adalah berbeza kerana emosi mereka perlu diambil kira, dan Jeganathan sendiri gembira melihat “anaknya” itu berseronok di atas trek untuk menaikkan semangatnya sendiri.
Kini, Ridzuan mampu berbangga kerana aksi yang diciptanya itu menjadi ikutan buat anak-anak muda lain yang mahu mengikut jejak langkahnya.
“Harimau Malaya” kini boleh berbangga dengan megah akhirnya apabila muncul wira sukan yang berjaya mengharumkan namanya di pentas dunia!
;