RENCANA
FMLLP perlu perbaiki kelemahan
Tirai Liga Super 2017 telah pun dilabuhkan minggu lalu, dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya memenangi kejuaraan selama empat tahun berturut-turut – satu pencapaian luar biasa yang harus dicemburui.
Apa yang penulis ingin nyatakan, secara keseluruhannya Liga Super tahun ini begitu meriah, namun masih ada kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) selaku penyelaras untuk memastikan Liga Malaysia terus diangkat tinggi, terutama dalam penyusunan jadual perlawanan dan kualiti pengadil.
Penulis juga ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan-pasukan yang telah memberikan komitmen mereka dalam mengharungi saingan liga yang begitu mencabar.
Iklan
Bagi yang tidak berjaya, jangan berputus-asa, sebaliknya teruslah berusaha untuk mencipta kejayaan pada suatu hari nanti.
Kepada pihak pengurusan pula, rancanglah perancangan persatuan atau kelab dengan sebaik mungkin sekiranya ingin melihat bola sepak negara terus maju dan dijulang, terutama dalam aspek perbelanjaan dan perancangan kewangan bagi mengekalkan nilai komersial pasukan supaya dapat menarik penaja dan peminat untuk terus memberi sokongan tidak berbelah-bahagi.
Kepada pemain-pemain pula, ambillah pengalaman tahun ini untuk terus memajukan diri. Jangan mudah berpuas hati dengan pencapaian yang dimiliki, sebaliknya perlu terus melihat di manakah kelemahan dan kekutan diri untuk terus meningkatkan prestasi dan memudahkan untuk memasarkan diri.
Kepada peminat-peminat pula, teruslah bersama-sama pasukan anda -- baik ketika menang ataupun kalah -- sebab sokongan anda itu akan terus memberi dorongan kepada pengurusan dan pemain untuk terus bangkit memberi persembahan yang terbaik di atas padang.
Kepada JDT dan Kedah yang akan mengharungi perlawanan akhir Piala Malaysia hujung minggu ini, penulis harapkan masing-masing dapat memberikan persembahan terbaik dan berkualiti tinggi supaya dapat terus meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia. Selamat berjaya kepada kedua-dua pasukan.
kredit imej: FB Johor Southern Tigers
Must-Watch Video