RENCANA

Firdaus Hamdan dan Haziq Hamdan – Sama tapi tak serupa!

Suzana Basri 29/02/2024 | 05:33 MYT
Sempena Perlumbaan Cup Prix 2024 yang akan membuka tirai di Jasin Bestari, Melaka hujung minggu ini, saya dan rakan setugas, Dayang Atull berkesempatan menemubual adik beradik yang sangat berbakat dalam sukan permotoran – Firdaus dan Haziq Hamdan dalam edisi Nadi Arena pada Rabu.
Perkara pertama yang perlu diberikan pujian – sampai awal 3 jam ke ibu pejabat kami di Bukit Jalil untuk siaran langsung berita pada jam 7.30 malam.
“Sampai awal tak kalut, kak.” jawab Firdaus yang kini bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing Team.
“Kami dari Klang, takut traffic jam belah petang.” tambah Haziq yang turut menyertai pasukan baru musim ini iaitu Castrol Power One Honda Yuzy Racing.
Kerjasama baik yang diberikan sebelum itu juga cukup menyenangkan krew penerbitan Nadi Arena.
Sempatlah pembantu penerbit, Radzi Hamid memberikan taklimat mengenai perjalanan temubual nanti, termasuk berkongsi antara topik yang akan disentuh.
Pertama kali saya bertemu dengan Firdaus dan Haziq – bertubuh kecil molek keduanya. Nampak macam kembar pun ada.
Kira-kira 3-5 minit sebelum sesi temubual bermula, krew di studio mula menempatkan Firdaus – duduk di sebelah saya.
Saya lihat tangan dan kakinya sedikit menggeletar. Mungkin sudah lama tidak ditemubual selepas berehat dari perlumbaan ekoran kecederaan. Mungkin juga keadaan di studio yang sejuk dan sunyi, menambahkan lagi rasa gementar.
Saya menyapa sekadar berbasa basi. Dijawab Firdaus dengan baik sambil tersenyum.
“Boleh.” bisik hati saya.
Daripada pengalaman menemubual ramai tetamu dikalangan atlet sebelum ini, saya yakin Firdaus boleh menjawab dengan baik temubual nanti.
Si adik, Haziq yang duduk di sebelah Dayang Atull pula terlihat memiliki karakter berbeza – macam sudah tidak sabar untuk memulakan temubual, apa mungkin ini sebabnya dia digelar ‘The Hyper Boy’?
Ia membuatkan saya semakin teruja.
Seperti dijangka, sesi temubual berjalan dengan lancar. Dalam sopan santun dan lemah lembutnya Firdaus dalam berbicara, prinsipnya jelas dalam memacu kerjaya. Haziq pun begitu, karakternya yang ‘happy go lucky’ bukan bermakna dia tidak serius untuk tampil mencabar. Sempat juga dia mengusik abangnya yang diangkat sebagai antara idolanya, untuk membuktikan siapa lebih jaguh kali ini.
Gurauan yang begitu menyenangkan daripada pandangan mata saya ini membuktikan hubungan akrab yang terjalin di antara dua beradik yang hanya dibezakan usia dua tahun ini – persaingan mereka sihat, bukan toksik, saling mendukung di antara satu sama lain, walaupun hakikatnya sedar mereka merupakan pesaing dalam kategori CP125 yang kini semakin mendapat tempat dikalangan pelumba lebih muda.
Semoga apa yang diimpikan Firdaus Hamdan dan Haziq Hamdan akan menjadi kenyataan.
Selamat maju jaya untuk kempen 2024.
;