Francisco Conceicao dan Arda Guler -– dua pemain muda yang mencuri tumpuan ketika membantu Portugal dan Turkiye langkah kanan dalam kempen EURO 2024 dicanang media eropah bakal tersenarai dalam kesebelasan utama pada pertemuan kedua dua pasukan untuk aksi kedua Kumpulan F, tengah malam ini.

Berita yang menggembirakan ramai penyokong Portugal itu turut mendedahkan ketua Jurulatih, Roberto Martinez, tidak berdepan masalah kecederaan pemain yang membolehkan beliau melakukan pertukaran, sesuai dengan corak permainan Turkiye yang dilihat lebih banyak menyerang.

Conceicao yang berusia 21 tahun, bertindak sebagai pemain gantian ketika menentang Republik Czech dan menjaringkan gol berharga pada lewat permainan untuk kemenangan 2-1 tetapi kali ini dan pemain sayap Porto itu diharap dapat memastikan gol awal buat Portugal yang sememangnya memiliki rekod pertemuan lebih baik berbanding Turkiye.

Sementara itu, Cristiano Ronaldo dijangka terus mendapat kepercayaan Martinez dalam mengetuai pasukan di sebalik cakap-cakap nakal yang meragui kecergasannya, dan bintang Al-Nassr itu untuk sekali lagi diturunkan dalam 90 minit permainan yang menyaksikan misi pemain berusia 39 tahun itu untuk menambah koleksi jaringan di pentas Eropah yang kini berjumlah 14 gol akan terus bernyawa.

Bagaimanapun, rekod Ronaldo sebagai pemain termuda menjaringkan gol pada penampilan pertama di pentas Eropah sudahpun dipecahkan oleh Guler, pemain berusia 19 tahun yang kini menyarung jersi Real Madrid.

Sebelum ini, Guler atau Turkish Messi memukau dengan jaringannya yang menjadi titik tolak kepada kebangkitan Turkiye untuk menang 3-1 keatas Georgia, dikatakan tidak cergas 100 peratus oleh ketua jurulatih, Vincenzo Montella.



Namun, perkhabaran terbaru yang dipetik 12 jam sebelum sepak mula menentang Portugal, Guler dikatakan sudah bersedia, malah Montella juga tidak berdepan sebarang masalah kecederaan lain dan ini melegakan penyokong setia mereka terutama ribuan yang berada di Jerman.

Dalam mencerahkan peluang Turkiye untuk mencuri slot ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2008, Montella juga difahamkan perlu mengambil risiko untuk menurunkan kapten pasukan, Hakan Calhanoglu untuk menjadi jeneral di bahagian tengah.

Namun, satu lagi kesalahan memungkinkan bekas pemain Bayer Leverkusen yang kini menyarung jersi Inter Milan itu berdepan penggantungan untuk perlawanan terakhir kumpulan berdepan Republik Czech.