RENCANA
E-Sukan Malaysia kena cipta sejarah di Filipina
Sehari selepas India mengharamkan aplikasi permainan mudah alih popular, Player Unknown Battlegrounds Mobile (PUBG), giliran Nepal pula mengikut jejak langkah negara jirannya itu.
Perkara ini menyusul sebulan selepas tragedi dua serangan masjid di Christchurch, New Zealand, yang turut memberi kesan trauma ekoran perkongsian video secara langsung oleh salah seorang pengganas yang terlibat - seakan berada di lapangan permainan elektronik.
Pencarian secara kasar menerusi aplikasi popular 'Google' dalam bahasa melayu turut menyenaraikan penulisan berbentuk negatif tentang permainan elektronik seperti "Benarkah PUBG, Fortnite beri kesan buruk terhadap perkembangan mental?" oleh MStar pada carian teratas, berbanding perkongsian yang memiliki tajuk lebih jelas mengangkat ia sebagai sukan.
Ia secara langsung memberi gambaran, rata-rata rakyat Malaysia masih ragu-ragu apakah antara permainan elektronik yang hangat dimainkan ketika ini benar-benar selamat dan wajar diterima oleh semua lapisan masyarakat atau ia bersifat selektif yang hanya mengasingkan ia dengan konsep asal sesebuah temasya dianjurkan - perpaduan.
Suruhanjaya Perlindungan Hak Kanak-Kanak Delhi (DCPCR) pada Februari mengeluarkan senarai permainan elektronik yang berpotensi memberi risiko kepada perkembangan mental - dimana PUBG turut tersenarai disamping Fortnite, Pokemon, Grand Theft Auto (GTA), God of War dan Hitman.
Selain itu, Organisasi Kesihatan Dunia sedang mengenalpasti kecelaruan permainan elektronik atau 'gaming disorder' adalah salah satu masalah mental dalam senarai Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD) - bukan kejutan kerana wujud kes jenayah membabitkan ketagihan permainan jenis ini.
Hindustan Times pernah melaporkan kes seorang remaja lelaki yang sanggup menikam ibu, bapa dan adiknya kerana tidak tahan mendengar bebelan mereka yang melarang dia bermain permainan elektronik.
Di Malaysia pula, permainan elektronik ini sudah lama menyerap masuk dan penggunaan telefon bimbit telah memudahkan lagi perkembangannya di negara ini. Jangan terkejut jika kanak-kanak seawal usia 9 tahun antara peminat setia PUBG dan Mobile Legends.
Situasi ini sebenarnya mampu menjadi kelebihan buat industri sukan elektronik di negara ini untuk pantas mendominasi ketika negara seperti China lebih serius dalam penghasilan aplikasi permainan elektronik berbanding melahirkan atlet e-sukan.
Sebuah kedai mamak di Bandar Kinrara, Puchong, yang selalu penulis kunjungi memang menjadi lokasi 'kaki game' berkumpul. Pemilik dan pekerja restoran pun memberi lampu hijau kepada kumpulan ini untuk 'berperang' beramai-ramai kerana tiada masalah sosial yang mengganggu kelancaran operasi perniagaan mereka.
Beberapa bulan lagi, Mobile Legends antara enam permainan elektronik yang dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina 2019 - pentas pertama yang mempertandingkan sukan elektronik buat kali pertama dalam temasya terbesar rantau Asia Tenggara ini.
Selain Mobile Legends: Bang Bang, Arena of Valor adalah satu lagi permainan yang ditawarkan dibawah kategori mobile, disamping dua permainan masing-masing dari kategori komputer (PC) dan konsol.
Diharapkan Malaysia akan menghantar wakil terbaik yang mampu cipta sejarah di Manila nanti. Hanya itu cara terbaik dalam jangka masa pendek ini untuk memadam segala keraguan dalam menjadi yang pertama dalam sukan ini dan menguburkan segala kemungkinan buruk yang mampu difikirkan minda yang kolot.