RENCANA

Empat catatan sejarah dilakar di Terbuka Denmark 2020

Adam Zamri 19/10/2020 | 05:29 MYT
Berbanding sukan-sukan lain di dunia, penantian untuk menyaksikan acara badminton kembali bersambung adalah paling menyeksakan.
Tujuh bulan, itulah tempoh yang terpaksa ditanggung untuk melihat kejohanan di bawah seliaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membuka tirai semula selepas Seluruh England Mac lalu.
Terbuka Denmark yang buka tirai pada 13 Oktober telah tamat dengan jayanya semalam (Ahad, 18 Oktober) disebalik ketiadaan beberapa pemain ternama dunia khususnya Asia yang masih belum yakin dengan prosedur kesihatan disediakan BWF untuk mengekang penularan wabak Covid19 di venue pertandingan.
Banyak perkara yang boleh dijadikan titik perbincangan, antara kemunculan beberapa pemain muda yang kurang dikenali seperti Yvonne Li (perseorangan wanita Jerman ), Toma Junior Popov ( perseorangan lelaki Perancis), oh begitu juga seorang pemain Ireland yang bernama Nguyen Nhat.
Lima perlawanan akhir dihidangkan buat peminat seluruh dunia dan kesemuanya berlangsung dengan cukup sengit dan dramatik, dan seperti telah tertera pada tajuk artikel ini, empat sejarah berjaya dilakar, antaranya ;
1. Marcus Ellis dan Chris Langridge tamatkan penantian 45 tahun beregu lelaki England raih kejuaraan Terbuka Denmark.
Untuk satu ketika, Langridge seakan buntu apabila beberapa diasak dengan “smash” kencang dari Vladmir Ivanov dan pasangannya Ivan Sosonov, namun pemenang pingat gangsa Olimpik Rio ini mengheret perlawanan ke “rubber set” untuk menang 20-22, 21-17, 21-18. Ini juga kemenangan terbesar dalam siri jelajah BWF bertaraf 750. Kali terakhir pasangan England berjaya menaiki podium di kejohanan ini adalah menerusi David Eddy/Eddy Sutton pada 1975.
2. Nozomi Okuhara akhiri kemarau 2 tahun tanpa sebarang kejuaaran
Okuhara, adalah antara 8 pemain Jepun yang ambil risiko terbang ke Odense, biarpun situasi semasa wabak Covid19 masih belum reda. Gadis kecil molek ini bawa misi besar, memandangkan tujuh penampilannya di pentas final berakhir dengan kedukaan, dia berharap dapat tamatkan badi itu, dan ia terlaksana, apabila Marin dikecewakan dengan keputusan 21-19, 21-17
3. Pasangan Jerman, Mark Lamsfuss and Isabel Herttrich mula naik podium
Lamssfuss dan Herttrich gunakan kesempatan ketiadaan beberapa gandingan utama dunia dari Asia untuk lakar kejutan kepada pilihan ketiga kejohanan, pasangan suami isteri dari England, Chris dan Gabrielle Adcock. Mereka bukan sahaja menjadi pasangan Jerman pertama menjuarai kejohanan ini untuk acara beregu campuran, namun yang pertama untuk saingan bertaraf 750 BWF.
4. Anders Antonsen bantu Denmark julang kejuaraan perseorangan lelaki selepas terpaksa tunggu selama 10 tahun.
Antonsen melawan rakan sepelatihnya, Rasmus Gemke dalam pertembungan sesama Denmark dalam final, dengan peminat tuan rumah sudah tidak sabar melihat penantian 10 tahun berakhir apabila kedua-duanya cemerlang singkirkan lawan masing masing di peringkat separuh akhir. Kali terakhir perseorangan lelaki Denmark diangkat menjadi juara di laman sendiri adalah Jan O Jorgensen pada 2010.
Tamatnya Terbuka Denmark 2020 bermakna berakhirlah calendar badminton dunia untuk 2020, seterusnya terpaksa menanti sekitar dua bulan lagi untuk Terbuka Asia yang dijadualkan pada Januari 2021, sehingga itu marilah kita menanti penuh kesabaran, farvel !
;