Kecederaan adalah satu sub plot kecil yang kurang digemari dalam perjalanan bergelar seorang atlit. Baik yang serius mahupun cedera ringan, terlantar di atas katil lebih dari 3 hari sudah cukup untuk membuat segala otot mereka tidak berada dalam keadaan yang terbaik, bahasa mudahnya kendur.
Yang terbaru, pemain ragbi 15 sepasukan negara, Dineshwaran Krishnan atau Duke yang beraksi bersama Yamaha Jubilo patah tulang tangan ketika beraksi dalam perlawanan menentang Panansonic Wildknights pada 24 Disember lalu dalam Japan RugbyTop League.
Advertisement
Duke yang beraksi di posisi lock hanya sempat beraksi selama 49 minit dan kemudiannya terpaksa digantikan oleh Keisuke Yagashita. Jubilo gagal untuk mengekang Wildknights untuk mencatatkan rekod kemenangan 13 perlawanan berturut dalam kumpulan B dengan keputusan 44-19.
Yang merisaukan disini bukanlah kekalahan dialami pasukan Jubilo, namun kecederaan yang dialami Duke. Difahamkan Duke sudah pulang ke tanah air dan sedang menjalani rawatan di Hospital Pakar KPJ Damansara.
Laporan perubatan mengesahkan Duke terpaksa berehat selama 5 bulan dan Ragbi Malaysia terpaksa mengeluarkan namanya dari senarai pemain yang akan mewakili negara untuk Kejohanan Ragbi Asia Perdana April tahun depan.
Kejohanan itu merupakan penampilan pertama Malaysia dalam divisyen tertinggi dalam Ragbi Asia dan jika berjaya mengatasi Hong Kong dan Korea Selatan, peluang Malaysia untuk melangkah ke saingan Piala Dunia 2019 di Jepun lebih cerah.
Senario yang memeningkan semua pihak, terutamanya jurulatih Lee Nyuk Fah untuk memikirkan calon sesuai menggantikan Duke.
Untuk Duke, semoga anda cepat sembuh !