RENCANA
Dugaan Wendy Ng Yan Yee
Arena terjun negara sebelum ini gempar dengan isu doping yang melibatkan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Teka-teki terjawab selepas Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan Wendy Ng Yan Yee gagal ujian doping Sukan SEA jenis sibutramine.
Sibutramine merupakan bahan terlarang yang kebiasaannya terdapat dalam produk pelangsing badan dan sepatutnya diambil pengajaran apabila ia juga turut menjadi faktor kepada kegagalan ujian doping melibatkan atlet wusyu negara, Tai Cheau Xuen, pada 2014.
Iklan
Ng Yan Yee telah memenangi dua pingat emas Sukan SEA KL 2017 bagi acara 3 meter papan anjal individu dan seirama bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri. Pastinya satu tamparan hebat kepada Yan Yee kerana telah menanti sejak tahun 2011 untuk memenangi pingat emas bagi acara individu.
Kesalahan itu sekaligus boleh membawa kepada penarikan semula pingat. Yan Yee mempunyai pilihan sama ada untuk menghadiri sesi pendengaran atau mengaku salah selepas sampel ujian B turut menghasilkan keputusan positif.
Saya masih ingat saat dia memenangi pingat emas pertamanya 3M papan anjal individu, jelas terpancar kegembiraannya yang turut berkongsi dengan rakan media lain membuktikan penantiannya selama tiga edisi Sukan SEA terbayar dengan kejayaan itu.
Namun, siapa sangka, kegembiraannya diuji dengan isu sebegini pula. Bagaimanapun, saya percaya atlet berusia 24 tahun itu pasti ada alasan tersendiri mengenai isu doping yang menyelubunginya ketika ini.
Marilah kita sama-sama beri perhatian kepada saingan Grand Prix (GP) Kuala Lumpur pula yang bermula 27 hingga 29 Oktober terlebih dahulu.
Selain sasaran meraih dua pingat emas, ASUM turut sahkan terdapat peraturan baru digunakan dalam kejohanan kali ini apabila atlit tidak dibenarkan melompat dan menghayun tangan dua kali sebelum membuat terjunan.
Selamat maju jaya penerjun negara!
Must-Watch Video