Dua ratu cantik tenis terus ‘bergaduh’ di atas gelanggang!

Hafiz Wahid
Mei 9, 2017 15:35 MYT
Permusuhan di antara dua ratu tenis, Maria Sharapova dan Eugenie Bouchard, bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat tenis.
Bouchard sebelum ini secara terang-terangan mengkritik serta melabel Sharapova sebagai penipu selepas pemain Russia itu kembali daripada penggantungan 15 bulan akibat pengambilan bahan terlarang.
Bouchard memang dikenali sebagai pemain wanita yang lantang dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan kepada media.
Permusuhan ini dianggap semakin menarik apabila kedua-dua pemain ini bertemu dalam pusingan kedua tenis Terbuka Madrid.
Bouchard, yang tidak pernah merekodkan kemenangan ke atas Sharapova, turun dengan misi cukup peribadi dan akhirnya mencatat kemenangan 7-5, 2-6, 6-4 dalam pertarungan yang hampir memakan masa 3 jam.
Sharapova dilihat bergelut dengan melakukan 49 ‘unforced errors’, malah turut melakukan sembilan kali ‘double fault’ ketika melakukan servis sepanjang perlawanan.
Kedua-dua pemain ini bersalaman yang kemudian menyaksikan momen itu dikongsi ribuan orang di laman sosial.
Bouchard nyata puas selepas mengetepikan cabaran Sharapova, untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Saya turun ke gelanggang hari ini dengan motivasi tambahan. Saya agak tersentuh sebelum perlawanan, apabila ramai pemain menghantar mesej peribadi dengan ucapan semoga berjaya.
“Ada antaranya pemain yang saya tidak rapat, jadi apabila mendapat mesej ini daripada ramai pemain tenis dunia, ia sesuatu yang istimewa. Saya melakukan ini bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua orang yang menyokong saya.
“Malah, beberapa remaja di bilik persalinan turut memberi dorongan kepada saya, yang mana keadaan ini jarang berlaku.”
Bouchard turut menambah, “Ia turut membuktikan kebanyakan daripada mereka mempunyai pandangan yang sama dengan saya, cuma mungkin mereka takut untuk meluahkannya.”
Sharapova, bagaimanapun, berkata dia tidak memerlukan motivasi tambahan untuk menentang sesiapapun, termasuk Bouchard.
“Saya merupakan salah seorang dariapada dua pemain yang berada di atas gelanggang. Saya tidak mengambil kisah dengan isu yang berlaku di sekeliling. Saya sudah lama berada dalam permainan ini, saya tahu apa cabaran yang perlu dihadapi.
“Saya merupakan seorang pesaing. Namun, hari ini bukan hari saya. Sudah tentu ia mengecewakan tetapi ia mematangkan saya sebagai seorang pemain. Itu yang akan mendorong saya untuk menjadi seorang juara pertandingan lain dan juga dalam Grand Slam.”
Bouchard tidak mengambil masa yang lama untuk berkongsi kegembiraan dengan peminat dengan memuat naik gambar reaksinya selepas kemenangannya di media sosial.
Apa yang lebih mencuit hati, kapsyen yang ditulis Bouchard ialah “How bou dah”, yang merujuk kepada kata-kata seorang remaja, Danielle Bregoli, yang mengajak penonton bergaduh di luar set ketika rancangan bual bicara Dr Phil yang menjadi sensasi di internet.
Daripada 10,000 orang yang menekan butang suka pada gambar Bouchard di laman twitter, salah seorangnya merupakan juara Grand Slam 23 kali, Serena Williams, yang turut mengundang spekulasi.
Adakah Serena turut berada di pihak Bouchard dalam hal ini? Hanya tuan badan yang lebih mengetahui.
;