RENCANA
Dato’ Lee Chong Wei Hero Malaysia
Terima kasih Chong Wei!
Terima kasih untuk saat-saat gemilang yang menyatukan rakyat berbilang kaum Malaysia dan laluan berliku anda yang memberi inspirasi dan pengajaran bahawa Di Mana Ada Kemahuan Di Situ Ada Jalan.
Pingat perak di Olimpik Rio 2016 cukup bermakna lagi-lagi perlawanan epik separuh akhir menewaskan pencabar paling utama Lin Dan dari China.
Iklan
3 kali berturut-turut dibelakang pemain China di 3 edisi Olimpik sudah pasti mengecewakan Chong Wei.
Namun perjalanan untuk menjadi yang terbaik di dunia dan membawa harapan seluruh rakyat Malaysia di setiap kejohanan dan temasya memerlukan seseorang yang cukup istimewa.
Orang istimewa itu ialah Lee Chong Wei.
Saya amat bernasib baik mengikuti siaran langsung Astro Arena final perseorangan lelaki Chong Wei menentang Chen Long bersama ratu sukan negara, Dato’ Nicol David.
Perasaan tersangat bangga dan sebak apabila melihat Nicol bersorak setiap kali Chong Wei mendapat mata.
Heroin Malaysia memberi sokongan kepada hero Malaysia!
Saya percaya Nicol ingin juga bersama Chong Wei dan kontinjen Malaysia menaikkan Jalur Gemilang di pentas Olimpik namun sayang skuasy tidak disenaraikan di temasya itu.
Chong Wei yang meletakkan Malaysia dan badminton dahulu sebelum dirinya mahupun keluarga sendiri telah melalui perjalanan penuh mencabar antaranya digantung 8 bulan akibat kegagalan ujian doping dan mencurah segala keringat apabila ranking dunia turun ke nombor 182 dunia untuk kembali ke ranking nombor 1 dunia.
Chong Wei melinangkan air mata selepas menewaskan Lin Dan di separuh akhir kerana ia cukup manis setelah Super Dan mengecewakannya di final Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.
Setelah meletakkan segala yang ada dalam perlawanan itu, di final Chen Long satu lagi pencabar dari tembok besar China beraksi cemerlang untuk menidakkan pingat emas Chong Wei sekali lagi.
Maaf daripada Chong Wei tidak akan diterima oleh rakyat Malaysia kerana tidak ada apa yang perlu Chong Wei meminta maaf.
Seteru utama Chong Wei, Lin Dan sendiri meluahkan perasaan bangga dan bersyukur persaingan 16 tahun mereka sejak zaman remaja memberi makna yang istimewa buatnya.
Ini merupakan Olimpik terakhir Chong Wei dan rakyat Malaysia berharap legasi pemain nombor 1 negara dan dunia ini akan berterusan untuk mengajar anak-anak Malaysia erti komitmen, displin, kekuatan mental, semangat patriotik dan pengorbanan untuk negara tercinta.
Tidak kira warna pingat di Olimpik Rio, Dato’ Lee Chong Wei anda ialah Hero Malaysia!
Selamat tinggal Rio, Brazil! Kita berjumpa di Tokyo, Jepun 2020!
Must-Watch Video