Cristiano Ronaldo 2 Lionel Messi 1

Asmawi Bakiri
Jun 29, 2018 16:27 MYT
Selepas Cristiano Ronaldo menang dua pusingan pertama persaingan peribadinya dalam Piala Dunia ini, akhirnya Lionel Messi bangkit untuk kembali menonjolkan diri.
Bukan setakat itu saja, Messi yang kini mendapat hayat kedua, dijangka jauh lebih berbahaya selepas ini.
Persaingan pusingan ketiga ini didahului oleh Ronaldo dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di antara Portugal dan Iran pada awal pagi Selasa lalu.
Terganggu oleh kebisingan penyokong Iran di hotel penginapan pasukan Portugal di Saransk pada malam sebelumnya, Ronaldo yang kurang tidur, bergelut untuk memberi sebarang impak dalam separuh masa pertama dengan hanya satu percubaan lemah yang mudah diselamatkan penjaga gol lawan.
Namun, Ronaldo, penjaring keempat-empat gol Portugal dalam dua perlawanan terdahulu, tidak harus dinafikan peluangnya. Satu sepakan penalti dalam separuh masa kedua meluangkan untuknya mencatat nama dalam senarai penjaring untuk perlawanan ketiga berturut-turut.
Tapi bukan kali ini apabila sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Iran, Ali Beiranvand. Kesudahannya, mujurlah gol tunggal Ricardo Quaresma untuk keputusan seri 1-1 -- Karim Ansarifard meledak gol penyamaan Iran tiga minit dalam masa kecederaan -- memadai untuk mereka meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati.
Sebaliknya, Messi yang turut terlepas satu sepakan penalti ketika Argentina diikat Iceland 1-1 dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan 16 Jun lalu dan gagal menemui jaringan dalam kekalahan perlawanan kedua kepada Croatia 0-3 pada 22 Jun, mengalami perubahan nasib.
Di ambang penyingkiran ketika turun berdepan Nigeria, awal pagi kelmarin, Messi menunjukkan jalan dengan gol perangsang selepas 14 minit untuk Argentina mengukir kemenangan 2-1 dan layak juga ke pusingan 16.
Kembali dari rahang maut, Messi kini semakin bernafsu dan bertenaga. Tidak sekadar itu, penyerang berjersi nombor 10 itu yang terlepas daripada keaiban penyingkiran awal, harus kini berasakan saingan sebenar Piala Dunia baru saja bermula.
Mengambil penerbangan pulang awal, tidak akan menjadi pengalaman mengujakan buat Messi dan rakan sepasukan.
Apatah lagi buat sebuah pasukan sebesar Argentina, hanya kejuaraan yang dicari-cari mereka di samping prospek untuk berdepan Portugal dalam suku akhir pada 6 Julai ini – apabila persaingan Ronaldo-Messi akan memasuki pusingan kelima – harus dinantikan dunia.
Namun, La Albiceleste haruslah terlebih dahulu menyingkirkan Perancis malam esok dan Portugal mengetepikan Uruguay, awal pagi Ahad ini, untuk persaingan pusingan keempat di antara mereka berdua..
Hanya segelintir pemain di dunia yang berupaya mengubah wajah perlawanan secara bersendirian – Ronaldo tidak melakukan itu Selasa lalu sambil Messi hanya memperagakan secebis daripada kejaguhan sebenarnya.
Tapi dengan Messi kini terhindar daripada tekanan awal yang telah dilaluinya, bayangan raksasanya kini datang mengundang untuk sebarang defisit persaingan Messi-Ronaldo ini terus memihak kepada dirinya.
;