RENCANA
Covid-19: Wrestlemania 36 berlangsung tanpa penyokong
Setelah bermain tarik tali selama beberapa minggu kebelakangan ini, WWE secara rasminya mengumumkan yang acara WWE Wrestlemania yang dijadualkan berlangsung pada 6 April ini di Raymond James Studio, Tampa Bay, Florida terpaksa dibatalkan.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh WWE.com hari ini, WWE menyatakan:
“Hasil perbincangan dengan rakan niaga dan pihak kerajaan tempatan, Wrestlemania dan semua acara berkaitan di Tampa Bay tidak akan diteruskan. Walau bagaimana pun, Wrestlemania tetap akan disiarkan secara langsung pada 6 April ini melalui WWE Network dan program bayar dan tonton. Hanya beberapa pegawai akan terlibat dalam acara tertutup di pusat latihan WWE di Orlando, Florida, bagi menjayakan Wrestlemania.”
Situasi terkini ini sememangnya sesuatu yang telah dijangka lebih awal. Setelah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan langkah-langkah pencegahan wabak Covid 19 minggu lalu, WWE dilihat telah mula merancang pelan sokongan bagi memastikan acara Wrestlemania tetap berlangsung seperti dijadualkan. Ini ditambah lagi dengan beberapa kes positif wabak Covid 19 yang berlaku di daerah Florida, menyebabkan pihak berkuasa tempatan tidak membenarkan sebarang acara keramaian bagi mengekang penularan wabak yang boleh membawa maut tersebut.
Sebelum ini, terdapat desas-desus yang mengatakan WWE akan menunda Wrestlemania sekurang-
kurangnya ke penghujung Jun depan. Juga terdapat cadangan agar Wrestlemania diadakan di stadium kosong tanpa penonton, seperti mana beberapa perlawanan bola sepak liga utama sebelum ini.
Namun idea-idea ini nampaknya ditolak oleh Ketua Pegawai Eksekutif WWE Vince McMahon dan mengarahkan agar acara tahunan terbesar WWE itu diteruskan juga mengikut tarikh asal.
Pembatalan acara Wrestlemania di Tampa Bay ini juga secara langsung turut merencatkan beberapa acara gusti lain yang berlangsung di kawasan berhampiran. Sudah menjadi tradisi dan kelaziman, minggu berlangsungnya Wrestlemania merupakan ibarat satu karnival untuk sukan gusti. Di mana bukan sahaja WWE, malah pertubuhan-pertubuhan gusti lain turut sama mengadakan acara di kawasan sekitarnya bagi meraikan kehadiran peminat gusti dari seluruh dunia ke acara gilang-gemilang tersebut.
Bermula dengan acara WWE Smackdown pada Sabtu lalu, acara mingguan WWE yang lain termasuk Raw dan NXT juga akan disiarkan dari WWE Performance Centre tanpa kehadiran penonton. Tidak dinafikan, terasa amat pelik menyaksikan perlawanan gusti tanpa penonton. Tiada sorak, tiada cemuhan. Yang ada hanya aksi tanpa sebarang reaksi. Menunjukkan bahawa betapa pentingnya elemen daripada penonton bagi menghidupkan suasana.
![](http://stadiumastro-kentico.s3.amazonaws.com/stadiumastro/media/sa-images/2020/03-march/17/wrestlemania-36-1.jpg)
Bukan sahaja WWE. Malah beberapa badan gusti induk dan utama di Amerika Syarikat turut membatalkan beberapa acara penting mereka. All Elite Wrestling, Impact Wrestling, National Wrestling Alliance dan Major Wrestling League turut sama terpaksa akur dengan menangguhkan acara mereka atau sekurang-kurangnya, mengadakan acara di lokasi tertutup tanpa penonton.
Bayangkan Wrestlemania yang sebelum ini dipenuhi puluhan ribu penonton yang membanjiri arena. Namun terpaksa berubah menjadi acara tanpa penonton, ibarat acara gusti indie di belakang laman (backyard wrestling).
Namun apakan daya. Keselamatan dan kesihatan penonton, tenaga kerja dan bintang yang menjayakan acara tersebut adalah keutamaan dan perlu sentiasa dititikberatkan. Pujian wajar diberikan kepada pihak WWE yang sanggup mengenepikan keuntungan dan sama-sama berjuang untuk mengekang wabak Covid 19, sambil terus memberikan persembahan yang terbaik saban minggu kepada WWE Universe.
![](http://stadiumastro-kentico.s3.amazonaws.com/stadiumastro/media/sa-images/2020/03-march/17/wrestlemania-36-2.jpg)
Acara Wrestlemania kali ini akan membariskan perlawanan-perlawanan hebat seperti Drew McIntyre menentang Brock Lesnar bagi Kejuaraan WWE, Roman Reigns mencabar bintang lagenda Goldberg untuk Kejuaraan Universal, The Fiend Bray Wyatt bertemu John Cena, dan banyak lagi.
Yang pasti, acara Wrestlemania edisi ke 36 ini pasti akan tercatat dalam lipatan sejarah kerana menjadi satu-satunya acara tahunan terbesar yang diadakan dalam skala yang kecil.
(Foto: WWE.com)
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Wrestlemania pada 6 April depan serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.