Skip to main content

Rencana

Bila badang menangis

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

31717hafifi2.jpg
Lebih sedekad mengenali Mohd Hafifi Mansor, sedikit sebanyak saya faham kerenah jaguh angkat berat negara itu.

Bersemangat kental, periang dan mulut jahat, itu yang dapat saya sifatkan mengenai juara kategori 69kg Sukan Komanwel 2014.

Tetapi, dia antara atlet yang rapat dengan saya.

Saya mengenali ibunya, adiknya seorang pelumba basikal malah bekas teman wanitanya juga dalam pengetahuan saya.

Begitupun, kali ini saya berkongsi cerita sedih Hafifi.

Tersentuh hati apabila membaca coretannya dalam laman sosial selepas digugurkan daripada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kerana kecederaan paha yang belum pulih sedangkan harapan terbaik skuad angkat berat negara menyumbang pingat emas.

Kali terakhir dilakukan Che Mohd Azrol Che Mat dalam kategori 105kg di Manila 2005.

"Aku tidak pernah menangis dalam kerjaya...
Tetapi hari ini aku tewas...
Kepada ibu dan orang yang sokong untuk aku berjaya...
Apakan daya, aku sudah berusaha sebaik mungkin...
Ada yang tidak mahu menyokongku, beri peluang kepadaku...
Untukku buktikan kepada ibuku dan semua yang ada bersamaku...
Maafkan aku semua...
Aku terlalu kecewa..."

Itu coretan Hafifi dalam laman Facebook.

Saya kemudian bertemunya di gimnasium angkat berat Majlis Sukan Negara.

Dia cukup marah, enggan memberi komen dan mahu membuktikan bahawa keputusan ini silap.

Dia kemudian menyusun 'plate', satu demi satu hingga mencapai keseluruhan 200kg. Apa dia mahu lakukan?

"Saya mahu buktikan, ini keputusan yang salah. Saya mahu buktikan, kecederaan ini sudah pulih. Bukan semua atlet mampu mengangkat 200kg," katanya.

Ternyata, dia berjaya melakukannya hingga terukir senyuman, dengan linangan air mata.

"Saya mahu beraksi dalam Sukan Sea. Saya mahu tunjukkan kepada ibu saya di Terengganu, anaknya ini akan menyumbang emas untuk Malaysia," katanya.

Saya terkedu seketika. Cukup kuat semangat Hafifi. Saya akan cuba mencari jalan penyelesaian untuknya. 

Masa masih banyak, 29 hari menjelang acara angkat berat. Dia sepatutnya sempat pulih untuk galas tugas negara. Semoga peluang kembali terbuka.

Advertisement

Must Watch Video