RENCANA
Biar betul Itali tak layak?
Sehari selepas Itali terlepas slot terakhir untuk mara ke final Piala Dunia 2018, satu dunia masih cuba untuk menghadam hakikat ketiadaan Azzuri dalam senarai 32 pasukan yang akan bertanding di Russia nanti.
Jika aksi buruk Harimau Malaya terus menyaksikan pengendalinya, Nelo Vingada, menjadi topik utama perbualan sama ada dia yang pernah membimbing pasukan hebat seperti Arab Saudi ini perlu diberikan lebih masa atau dipecat sahaja kerana gagal menjelmakan sebarang kemenangan sejak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Ong Kim Swee, cabaran Gian Piero Ventura berdepan media Itali lebih dahsyat walaupun kempen mereka diakhiri dengan 33 percubaan tepat.
Ya, 33 percubaan tepat keseluruhannya dalam pertemuan kedua dengan Sweden di San Siro, namun kecemerlangan kubu pertahanan lawan yang ditunjangi penjaga gol, Robin Olsen, memusnahkan segalanya.
Tiada satu pun serangan Itali yang bisa menembusi gawang Sweden sehingga kemantapan pemain legenda, Gianluigi Buffon, memastikan kekebalan Azzuri sudah tidak membawa apa-apa makna. Maka, akurlah mereka dengan kesilapan kecil yang memberikan Sweden kelebihan agregat 1-0 sebelum ini.
20 tahun mempertahankan kubu Itali, Buffon meninggalkan pentas antarabangsa dengan linangan air mata, tetapi apa yang dipamerkan pemain berusia 39 tahun ini menjadikan pengikut bola sepak seluruh dunia tidak langsung menyalahkannya di atas kegagalan Itali.
Malah, Buffon masih dikenang sebagai wira dan saat-saat dia menjadi antara tunjang kehebatan Itali ketika menjuarai Piala Dunia 2006 dengan menundukkan Perancis di pentas akhir.
1958 menyaksikan tanah air kita baru setahun merdeka tetapi pada tahun itu, Itali perlu menelan hakikat gagal mara ke Piala Dunia buat kali pertama. Siapa sangka selepas 60 tahun, Itali yang dilabel pasukan berpengalaman dalam saingan berprestij ini sekali lagi berdepan situasi sama sehingga pengkritik yang sebelum ini tidak menggemari pelantikan Ventura lantang menguatkan hujah mereka dan ada juga yang menyalahkan pengurusan skuad Kebangsaan Itali yang sepatutnya mengekalkan khidmat Antonio Conte sebelum ini.
Tidak kira bagaimana hebatnya tajuk akhbar Itali yang turut menganggap kegagalan kempen Ventura ini umpama kedatangan kiamat, lagi pedih rasanya apabila syarikat gergasi Sweden, IKEA, tampil dengan iklan terbaru mereka berbentuk jenaka "jika Gian Peiro memaafkan kami atas kehilangan kerusinya di Itali, kami berikannya kerusi baru" dalam mempromosikan kerusi kayu panjang yang berharga EUR89.99 itu.