OLAHRAGA

Berhujung minggu dengan atlet maraton

Suzana Basri 19/11/2023 | 07:29 MYT
Untuk saya yang masih mentah dalam sukan larian, hari ini cukup mengujakan kerana dapat berlari dengan nama-nama besar seperti Muhaizar Mohamad serta ‘the power couple’, Nik Fakarudin Ismail dan Noor Amelia Musa, di ASICS META: Time Trials yang berlangsung di Persiaran Flora, Cyberjaya.
Muhaizar menyumbang pingat gangsa di Sukan SEA KL 2017 untuk menamatkan kemarau pingat 44 tahun Malaysia dalam acara Maraton dan mengulangi kejayaan sama pada edisi Manila 2019 – tahun sama saya menjadi saksi atlet yang bergelar komando tentera itu mendominasi larian sejauh 42 kilometer buat kali kelima berturut-turut di KL Marathon – kejohanan yang menyaksikan saya merekod penyertaan pertama dalam half maraton.
Selepas empat tahun, acara larian sejauh 21 kilometer itu masih menjadi pencapaian terbaik saya dalam sukan ini tetapi pertemuan singkat dengan Noor Amelia, yang melakukan penampilan pertama di Tokyo Marathon pada Mac lalu, seakan-akan menghidupkan kembali impian untuk menyertai maraton suatu hari nanti.
“Hari ini bukan larian terbaik saya. Kadang-kadang memang macam ni. Tak jadi.”
Sambil tersenyum Noor Amelia berkongsi prestasinya dengan 40 minit 31 saat – sudah pasti bukan pencapaian terbaiknya dalam acara 10 kilometer – untuk tamat di kedudukan kelima jemputan wanita dan kelapan keseluruhan wanita.
Suaminya, Nik Fakaruddin, juga tidak berjaya mencabar kedudukan podium dengan 34 minit 25 saat untuk tamat di kedudukan kelapan jemputan lelaki dan ke-10 keseluruhan lelaki, namun dia lebih baik berbanding Muhaizar dengan 35 minit 56 saat untuk tamat di kedudukan ke-11 jemputan lelaki dan ke-16 keseluruhan lelaki.
Saya pula? Mestilah lagi jauh ke belakang tetapi apa yang penting adalah semangat untuk menghabiskan larian kerana setiap acara menawarkan pengalaman yang berbeza-beza. Sebagai contoh, lima kilometer terakhir di ASICS META: Time Trials ini memerlukan pelari naik turun laluan berbukit, bayangkan segalanya perlu ditempuhi pada ketika tenaga semakin menyusut dan keringat semakin deras.
Sudah pasti hanya ‘mindset’ positif dan minat yang mendalam dalam sukan larian ini menjadikan segalanya mampu dihadapi dengan senyuman – bak kata perpatah, alah bisa tegal biasa – seterusnya menerbitkan keghairahan untuk kembali berlari dalam kejohanan seterusnya.
Jadi, kepada penganjur kejohanan larian, jangan lupa menjemput saya dan rakan-rakan di Astro Arena untuk turut serta. Insya-Allah, Kalau Tiada Aral Melintang, Kalau Tiada Tiang Terpalang, Kalau Tiada Onak Menjelma, Kalau Tiada Dinding Teretas, Kalau Tiada Salah Silihnya, kami pasti hadir.
#Olahraga #Rencana
;