RENCANA
Berdamailah FAS-Kerajaan Negeri Selangor
Persengketaan antara Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan kerajaan negeri Selangor kini seakan tiada kesudahan sejak ia bermula pada hujung musim 2016 selepas final Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah.
Musim ini ia kembali menjadi perhatian, apabila hasrat FAS menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tempat sendiri tidak kesampaian selepas tidak mendapat kelulusan FMLLP.
Dan Selangor bakal beraksi semusim lagi di Stadium Selayang.
Iklan
Peminat setia merah kuning pula ramai yang mahukan pasukan kesayangan mereka kembali beraksi di Stadium Shah Alam dan meluahkan kekecewaan menerusi laman sosial.
Ia diikuti dengan kenyataan media Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan Dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Amirudin Shari serta kenyataan balas dari Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim.
Penulis enggan menyebelahi mana-mana pihak di sini, kerana secara peribadi penulis berasa kedua-dua pihak ada hujah tersendiri dalam pertikaian ini.
Namun, penulis berasa tindakan tuduh menuduh antra kedua-dua pihak tidak akan menyelesaikan isu ini sampai bila-bila.
Demi kepentingan dan pembangunan bola sepak di negeri Selangor, kedua-dua pihak perlu bersemuka dan menyelesaikan segala masalah secara diplomasi.
Jika dilihat daripada kaca mata peminat, sudah pasti mereka kecewa dan tidak faham mengapa stadium yang digunakan Selangor sejak 1994 tidak boleh digunakan pasukan negeri.
Namun, wakil kedua Selangor dalam Liga M, PKNS FC boleh menggunakannya bersama pendatang baru dalam saingan Liga Perdana musim ini, Felcra FC.
Jika sebelum ini, bekas Timbalan Presiden FAS Datuk Mokhtar Ahmad kerap menjadi orang tengah antara FAS dan kerajaan negeri dalam cubaan menjernihkan kembali hubungan kedua-dua pihak.
Kini, penulis tidak lagi nampak sebarang usaha telus kedua-dua pihak dalam cubaan berdamai.
Sebagai anak jati Selangor dari Petaling Jaya, penulis berharap kedua-dua pihak meletakkan kepentingan bola sepak Selangor daripada perkara lain dalam menyelesaikan isu ini.
Must-Watch Video