RENCANA
Beranilah sikit Khairy
"Apa-apapun kita mesti ada sasaran. Barulah kita boleh menilai sama ada berjuta duit rakyat yang kita laburkan berbaloi atau tidak".
Itu komen bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, seminggu sebelum saya berangkat ke Sukan Olimpik Rio 2016.
Saya setuju dengan pandangan individu yang membawa Malaysia cipta sejarah raih 10 pingat emas Sukan Komanwel 1998, muncul juara keseluruhan Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 sebelum meninggalkan MSN pada 2006 dengan dana terkumpul lebih RM 300 juta.
Iklan
"KBS (Kementerian Belia dan Sukan) perlu lebih berani untuk tetapkan sasaran. Baru tahu apa misi kita di Rio," katanya.
Namun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mempunyai pandangan berbeza.
Beliau menegaskan kontinjen negara seramai 32 atlit di Rio, yang bermula Jumaat ini, tidak mempunyai sasaran khas.
Saya kecewa dengan keputusan itu.
Selepas satu pingat gangsa Olimpik 1992, satu perak, satu gangsa 1996, satu perak 2008, satu perak, satu gangsa 2012, peminat mahu tahu apakah misi kita di Rio?
Takkanlah masih lagi mencari pengalaman?
Jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei sudah buat penampilan ketiga, Azizulhasni Awang (basikal trek) juga ketiga, Pandelela Rinong (terjun) kedua, begitu juga dengan pemanah, Khairul Anuar Mohamad.
Jadi, mereka sudah memiliki banyak pengalaman dan tahu apa yang perlu dicapai di Rio.
Chong Wei dan Azizul contohnya, memang tidak berselindung bahawa mereka tidak mahu pingat selain emas. Takkanlah KBS tidak tahu?
Saya juga tidak setuju dengan pendekatan tiada sasaran apabila kontinjen kita menyertai mana-mana temasya. Sukan Sea Singapura tahun lalu juga sama, namun atlit kita akhirnya menyinar dengan 62 emas, 58 perak, 66 gangsa untuk menghuni tangga keempat keseluruhan.
Mungkin langkah itu untuk mengurangkan tekanan kepada atlit.
Ironinya, atlit atau pegawai sukan negara yang lebih tertekan?
Saya tertarik dengan komen Chong Wei sebaik tiba di Rio: "Saya mahu emas...saya ada 30 juta rakyat Malaysia di belakang saya.
30 juta rakyat Malaysia tahu atlit kita mahu emas di Rio, tetapi KBS tidak menetapkan sasaran. Beranilah sikit KBS...
Must-Watch Video