Bendera simbol kemegahan sesebuah negara
Ammar Hakim
Ogos 20, 2017 19:20 MYT
Ogos 20, 2017 19:20 MYT
Dalam keseronokan menjamu mata dengan kegemilangan dan dramatik upacara pembukaan rasmi KL2017, tular di media sosial mengenai kesilapan bendera Indonesia yang terdapat di dalam Buku Cenderamata Khas Kuala Lumpur 2017 yang telah diedarkan pada upacara pembukaan Sukan SEA Ke-29, malam tadi.
Rata-rata rakyat dari negara pimpinan Presiden Joko Widodo itu tidak berpuas hati, lantas memberikan pelbagai komen mengenai kesilapan yang berlaku.
Presiden Joko Widodo meminta rakyatnya agar tidak memperbesarkan isu kesalahan cetak bendera republik itu, beliau hanya mahu permohonan maaf dilakukan secara rasmi oleh penganjur Sukan SEA KL2017 atau kerajaan Malaysia kerana ini berkait sebuah kebanggaan nasionalisme dari bangsa Indonesia.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, telah melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya, Imam Nahrawi, dan menyatakan hasrat permohonan maaf bagi pihak MASOC.
Baru sahaja berjumpa @imam_nahrawi untuk memohon maaf secara rasmi kpd rakyat Indonesia atas kesilapan percetakan bendera RI. Tkasih Bpk. pic.twitter.com/YOO8ICRVja
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) August 20, 2017
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ralat yang tidak disengajakan dalam mencetak bendera Indonesia dalam buku cenderamata tersebut, menurut Khairy, amat dikesali.
"Kesilapan ini adalah amat dikesali dan kami percaya hubungan erat di antara dua negara ini akan lebih diperkukuhkan di bawah semangat Sukan SEA," katanya.
Khairy turut menegaskan bahawa pihaknya sudah mengeluarkan arahan untuk menghentikan pengedaran buku cenderamata itu dan melakukan pembetulan dengan kadar segera.
"Ia merupakan satu kesilapan yang amat besar kerana bendera adalah simbol kemegahan sesebuah negara. Kami selaku tuan rumah menzahirkan kekesalan berhubung kesilapan itu."
Justeru, Malaysia berharap rakyat Indonesia terus menyokong KL2017 kerana isu yang membabitkan negara jiran itu terjadi tanpa sebarang niat buruk.
Rakyat menzahirkan keseronokan dan pujian kepada upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Netizen mengakui ia cukup hebat dan memukau semua penonton yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Upacara perasmian KL2017 dilihat sebagai satu penanda aras bagi kejayaan penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad Ke-V, telah merasmikan sukan serantau dwitahunan yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos itu dalam acara yang dilimpahi percikan cahaya dan warna serta pertunjukan bunga api mewarnai langit.