RENCANA
Belajar dengan Adiq
Saya kagum dengan persiapan bekas pelumba lebuhraya negara, Adiq Husainie Othman menghadapi persaraan pada usia 28 tahun.
Ketika rakan seperjuangan menghampiri kemuncak prestasi, dia sudah bersiap-sedia mengira berapa banyak masa yang akan dihabiskan bersama keluarga selepas ini - perkara yang turut saya impikan.
"Saya mengumpul duit sejak jadi atlit negara 15 tahun lalu. Ketika jadi pelumba pelapis kebangsaan, saya dibayar RM80 setahun tapi jumlah itu dibayar secara pukal.
"Jadi, saya akan mendapat RM800 pada Disember, jumlah itu saya kumpul hingga gaji terakhir saya mencecah RM15,000. Setiap tahun saya menetapkan sasaran beli aset, sama seperti prestasi saya sebagai atlit.
"Jadi saya hadkan perbelanjaan, simpan sebahagian gaji, elaun atlit kebangsaan dan hadiah kemenangan untuk menghadapi saat seperti ini. Alhamdulillah, saya sudah memiliki tiga restoran dan merancang beberapa perniagaan baru," katanya.
Saya fikir, tidak ramai atlit negara mampu bersara awal.
Realitinya, ada atlit terutama pemain bola sepak atau badminton menerima bayaran (gaji/ hadiah) mencecah RM100,000 sebulan sekaligus meletakkan mereka dalam keadaan selesa menghadapi persaraan awal.
Apa yang penting, bagaimana mereka menguruskan perbelanjaan. Kalau boros, gunung emas pun rata!
Atlit juga tidak boleh terlalu mengharapkan perancangan Majlis Sukan Negara (MSN) atau persatuan sukan kebangsaan dalam merancang masa depan mereka.
Ini masa depan kita, kenapa serahkan kepada orang lain?
Kita sendiri perlu merancang, sama seperti dalam sukan, apa sasaran kita. Emas, perak atau gangsa?
Jadi, Adiq patut dicontohi.
Saya pun sedang belajar dengan Adiq, mungkin ada peluang bersara awal.