Skip to main content

Rencana

Bayaran Eric Garcia untuk jadi bintang Manchester City

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ericgarcia_1.jpg
Debar bertukar cemas dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris yang menemukan Manchester City dan Arsenal ketika berbaki sepuluh minit.

Pengadil bertindak menghentikan perlawanan.

Para pemain berkumpul di kubu The Citizens.

Penjaga gol berpengalaman, Ederson, dilihat menggelengkan kepala beberapa kali dan lebih merisaukan apabila pertahanan berusia 19 tahun, Eric Garcia, terbaring longlai.

Situasi yang merisaukan pengendali Manchester City, Pep Guardiola, ini pantas menarik petugas perubatan bergegas ke padang untuk memberikan bantuan.

Apa yang berlaku amat mengejutkan dan sekiranya Stadium Etihad dipenuhi lautan penyokong sekalipun, suasananya pasti sama – sunyi dan suram dek memikirkan apakah nasib Ederson dan Garcia yang terbabit dalam pelanggaran yang amat dahsyat.

Barisan yang diturunkan Guardiola kali ini bukan sahaja garang di jentera serangan tetapi bahagian pertahanan juga ampuh walaupun jurulatih dari Sepanyol itu mengambil risiko dengan menurunkan Garcia ketika bek-bek senior dalam keadaan cergas.

Ini merupakan penampilan ketiga Garcia dalam Liga Perdana Inggeris dan dia sudah pun memukau dengan komitmen tingginya dalam mengekang serangan Arsenal – malah mengikut statistik, pasukan pelawat gagal merekodkan sebarang percubaan tepat dalam pertemuan ini.

Guardiola sendiri memuji persembahan Garcia yang juga berasal dari Sepanyol.

“Garcia bijak mengawal kawasannya. Bukan mudah untuk berhadapan pemain seperti Aubameyang. Garcia faham posisi dan corak permainan yang dimahukan.”

Sungguhpun begitu, buat masa ini, Garcia perlu membayar impiannya untuk kekal berada dalam skuad utama dengan harga yang mahal.

Keadaan kesihatan Garcia yang diusung ke hospital selepas tamat perlawanan yang memihak The Citizens 3-0 itu masih belum diketahui tetapi dia sudah sedarkan diri.

Mengikut perkongsikan Guardiola, Garcia akan menjalani ujian kerana mengalami gegaran kuat di kepalanya dan Guardiola amat menekankan kepentingan untuk memastikan pemain harapan ini dalam keadaan baik sebelum dibenarkan untuk keluar hospital kerana tendangan di kepala amat berbahaya.

Diharapkan semangat Garcia lebih kuat berbanding gegaran yang dirasainya dalam insiden yang tidak disengajakan itu - mana tahu Garcia akan kembali lebih kuat untuk memastikan The Citizens merampas kejuaraan musim hadapan.

Advertisement

Must Watch Video