Skip to main content

Rencana

Balapan dan Padang Terbuka Thailand: Istimewanya pingat emas lompat tinggi Norliyana Kamaruddin

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

norliyana-kamaruddin.jpg
Nama Norliyana Kamaruddin mungkin lebih dikenali sebagai atlet heptatlon negara namun kejayaan terbaharunya merangkul pingat emas dalam acara lompat tinggi wanita akhir di Kejohanan Balapan dan Padang Terbuka Thailand 2025, di Bangkok semalam membuktikan acara lompat tinggi umpama cinta pertama yang sentiasa mendapat tempat istimewa dalam hati gadis tinggi lampai ini.

Norliyana yang berusia 34 tahun melakukan lompatan setinggi 1.75 meter untuk menewaskan pencabar lain, termasuk wakil tuan rumah, Thanlada Thongchomphunut, yang juga merupakan pemenang pingat emas acara itu di Sukan SEA Kemboja, yang perlu berpuas hati dengan pingat gangsa.

Ini bukanlah kali pertama, Norliyana merekodkan lompatan mengatasi catatan Thongchomphunut. Pada saingan di Phnom Penh itu, Thongchomphunut merekodkan 1.79 meter untuk menyumbang pingat emas buat kontinjen Thailand, manakala Norliyana yang tampil lebih baik dengan lompatan setinggi 1.81 meter gagal membawa pulang sebarang pingat.

Ini kerana Norliyana tidak bersaing dalam acara lompat tinggi, sebaliknya hanya fokus dalam acara heptatlon yang turut menampilkan lompat tinggi sebagai salah satu daripada tujuh sukan dengan format mata terkumpul, yang menyaksikan dia sekadar berpuas hati di tempat kelima.

Terdahulu, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu semakin mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod kebangsaan heptatlon miliknya di Sukan SEA Hanoi 2022 dengan catatan 1.80 meter dalam disiplin lompat tinggi.

Di sebalik prestasi yang baik dalam acara heptatlon, Norliyana yang semakin dihambat usia masih berpeluang untuk mencipta sejarah tersendiri dengan mengatasi rekod kebangsaan lompat tinggi milik Yap Sean Yee iaitu 1.83 meter yang direkodkan di Sukan SEA KL 2017 sekiranya Norliyana tersenarai ke Sukan SEA Thailand pada penghujung tahun ini.

Advertisement

Must Watch Video