RENCANA
Ayon cipta bangga di bumi Indonesia
"Khairul Effendyyyyyy...!!!, gol yang dihadirkan daripada pemain Malaysia... 2-1", Itu teriak pengulas sukan sebuah stesen televisyen Indonesia terhadap jaringan yang dilakukan pemain futsal negara, Khairul Effendy Bahrin.
Video berdurasi 40 saat itu mungkin akan tular di media sosial selepas Khairul Effendy yang mesra disapa Ayon meledak jaringan cantik ketika permainan berbaki 10 saat dalam perlawanan separuh akhir Liga Futsal Pro Indonesia di Yogyakarta, hari ini.
Berpunca daripada satu sepakan sudut, Ayon melakukan sepakan voley dan bola deras menerjah gawang pasukan lawan untuk gol ketujuhnya dalam liga berkenaan.
Apa yang pasti, gol itu berjaya memastikan kemenangan 2-1 buat pasukan Ayon, SKN Kebumen, ke atas Black Steel Manokwari, sekali gus mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir buat kali pertama dalam kejohanan itu.
Kini, Ayon dan SKN Kebumen hanya selangkah saja lagi untuk melakar sejarah memenangi kejuaraan buat kali pertama, Ayon sebagai pemain futsal Malaysia dan SKN Kebumen untuk sejarah pasukan mereka.
Namun, tugas getir menanti SKB Kebumen apabila akan berentap dengan juara bertahan, Vamos Mataram, dalam perlawanan akhir kejohanan, esok.
Jika anda mengikuti perkembangan Ayon dalam liga berkenaan, sudah beberapa kali juga pemain berusia 31 tahun dari Klang, Selangor itu melakukan jaringan menarik buat SKN Kebumen yang beraksi untuk musim pertama tahun ini.
Sememangnya, bakat yang dimiliki Ayon cukup luar biasa dan yang pasti, Ayon telah menghadirkan rasa bangga kepada raykat Malaysia terutama warga futsal tanahair kerana merekalah yang terus berjuang memartabatkan arena futsal negara.
Penulis juga secara peribadi ingin memberi kredit kepada laman portal Arena Futsal Malaysia kerana tidak henti-henti bertindak sebagai sumber utama informasi sukan futsal tanahair.
Akhir kata, semoga maju jaya buat Ayon untuk aksi final nanti!