Skip to main content

Rencana

Ashraf Haiqal akan ke Barcelona!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ashraf-haiqal.jpg
Sukan ping pong di Malaysia boleh dianggap diam-diam ubi berisi. Tidak banyak pencapaian di pentas antarabangsa tidak bermakna mereka seharusnya dipandang sepi.

Selain daripada kontroversi pelik melibatkan cara pihak pengurusan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) menjana duit sehingga RM12 Juta setahun, turut curi tumpuan apabila Karen Lynn menjadi rakyat Malaysia pertama ke Kem Rough Diamond di Luxembourg anjuran Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (ITTF) tahun lalu, kemudian Javen Choong dan Alice Chang Li Sian melayakkan diri ke Sukan Olimpik Remaja Di Buenos Aires Oktober depan, ia sememangnya membangkitkan keterujaan.

Dan yang terbaru, Ashraf Haiqal bakal muncul sebagai anak melayu pertama selepas dia ditawarkan beraksi di kelab Eropah, lebih spesifik, Natacio Sabadell, yang berpangkalan di Barcelona, Sepanyol.

“Saya sendiri pun tidak percaya mereka membalas surat saya, sebelum ini saya pernah cuba risik-risik dan menghantar resume saya ke kelab luar, namun tiada jawapan.

“Saya nak bermain di luar negara untuk meningkatkan permainan saya, cari pengalaman. Bukan saya mengatakan kekal di Malaysia tidak bagus, cuma saya perlu beraksi dengan pemain lebih kompetitif," katanya. 

Di Natacio Sabadell, Ashraf akan menjadi satu-satunya pemain Asia dan beraksi bersama pasukan elit yang dibarisi Ferran Brugada, Ivan Ruiz, Ramon Cliville dan Pere Weisz dalam saingan Division D’ Honor.

Natacio Sabadell merupakan sebuah kelab sukan daerah yang bukan sahaja menumpukan kepada sukan ping pong sahaja malah turut menumpukan kepada kelab renang, olahraga, gimnastik, petanque malahan seni bela diri, Aikido.

Dan untuk rekod pula, seorang lagi bekas pemain negara, Chan Koon Wah, juga  pernah berkelana ke Sepanyol sekitar tahun 1999 hingga 2009. Juara kebangsaan sebanyak lapan kali itu pernah beraksi dengan tiga kelab berbeza, iaitu Zaragoza School Team, Aiteme La Palma dan Temespin La Palma.

Ashraf kini sedang menanti urusan visa diselesaikan dan jika tiada aral melintang, dia akan ke Barcelona pada September ini. Semoga berita penghijrannya ke bumi Eropah akan membuka satu lagi lembaran baru untuk sukan ping pong Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video