RENCANA
Arsenal ber’Partey’ ikut pintu belakang
Siapa sangka setengah jam sebelum jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris ditutup, Arsenal dengan liciknya menggunakan jalan belakang untuk membeli Thomas Partey.
Tatkala kebanyakan wartawan terkenal Eropah menulis tidak akan ada lagi perbincangan melibatkan Atletico Madrid dan Arsenal dalam urusan Partey, pasukan perunding The Gunners sudah berada di ibu pejabat La Liga untuk menebus klausa perpindahan pemain itu.
Menurut undang-undang di Sepanyol, apabila sesebuah kelab sudah menebus klausa perpindahan, mereka berhak untuk terus berhubung dengan pemain tanpa melalui kelab asal. Jadi, apabila wakil Arsenal datang terus ke pejabat La Liga, mereka tidak perlu berunding lagi dengan Atletico Madrid.
Iklan
Memandangkan Arsenal sebenarnya sudah berbincang awal dengan ejen Partey, ia tidak mengambil masa lama untuk perpindahan itu dimuktamadkan. Menurut laporan, perjanjian itu disahkan pada pukul 10.30 malam, setengah jam sebelum jendela ditutup.
Oleh itu, Arsenal terpaksa mengumumkan perpindahan di laman sosial dengan pemain itu masih lagi memakai jersi Atletico Madrid, kerana Partey masih belum tiba lagi di London.
Perkara itu nyata mengundang kemarahan Diego Simeone yang menganggap Partey masih pemain penting Atletico untuk musim ini. Malah, mereka sebenarnya sudah dua kali menolak bidaan The Gunners atas alasan harga yang ditawarkan terlalu rendah.
Namun, kali ini, jika mengikut undang-undang, tiada apa yang boleh dilakukannya. Proses ini pernah dilakukan Chelsea yang pada ketika itu terdesak mencari pengganti Thibaut Courtois dengan menebus klausa perpindahan Kepa Arrizabalaga daripada kelab Athletic Bilbao.
Kes ini sebenarnya juga lebih kurang dengan keinginan Lionel Messi yang mahu keluar dari Barcelona. Namun, dalam kes Messi, ejennya menyatakan yang klausa itu sudah terlupus kerana Messi memasuki tahun terakhir dalam kontrak sebelum pihak LaLiga terpaksa masuk campur dan menyatakan yang klausa £700juta masih aktif dan perlu dibayar kelab yang ingin mengambil khidmatnya.
Da;a, Liga Perdana Inggeris, klausa ini tidak wajib dikuatkuasa dan jika pasukan mahu meletakkannya, mereka masih boleh letak dalam kontrak pemain.
Namun, jika ada pasukan sudah membayar, mereka masih perlu melalui kelab asal pemain itu dan keputusan akhir sama ada mahu terima atau tolak, masih berada di tangan kelab. Sebagai contoh, kes bidaan Arsenal ke atas Luis Suarez yang pada ketika itu beraksi bersama Liverpool.
Walaupun Arsenal sudah mengaktifkan klausa Suarez £40 juta + £1, Liverpool mengambil keputusan untuk tidak menjual pemain itu kerana Arsenal merupakan pencabar dalam liga yang sama.
Kini Arteta sudah melengkapkan pemain yang diinginkan. Cuma yang mungkin memeningkan kepalanya adalah kegagalan untuk melepaskan beberapa pemain yang tiada dalam pelan taktikalnya.
Arteta kini memiliki lapan pemain pertahanan tengah, serta Mesut Ozil dengan gaji £350 ribu seminggu. Kehadiran Partey juga memaksa Arteta perlu menggugurkan dua pemain utama kerana syarat Liga Perdana Inggeris hanya membolehkan 17 pemain asing didaftarkan.
Ternyata, tanpa kelibat Raul Sanllehi, The Gunners sebenarnya terkapai-kapai dalam urusan jendela perpindahan kali ini. Namun, dengan kejayaan memujuk Pierre Emerick Aubameyang untuk melanjutkan kontrak, ia boleh dianggap sebagai seorang lagi pemain baru dalam usaha mereka mengejar slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan.
Must-Watch Video