Apa khabar Malaysia? Ali Mabkhout datang lagi
Muzaffar Musa
Jun 4, 2021 16:25 MYT
Jun 4, 2021 16:25 MYT
Ali Mabkhout seakan melambai-lambai peminat bola sepak Malaysia bagi memperingatkan bahawa dia masih akan menjadi watak paling dibenci ketika skuad negara tumbang 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia awal pagi tadi.
Kira-kira 22 bulan lalu, dia memegang reputasi sebagai individu paling dibenci peminat Harimau Malaya sesudah memadamkan gol pembukaan Syafiq Ahmad menerusi jaringannya dalam setiap separuh masa di Bukit Jalil.
Dan dia masih tidak mahu kehilangan status itu dengan mengekalkan jumlah gol sama dalam pertemuan kali ini, bahkan memperkenalkan pula teman barunya, Fabio Virginio de Lima -- baru setahun lalu dinaturalisasikan negaranya -- yang turut menyumbangkan dua gol.
Jika kita amati mutu permainan penyerang prolifik ini, dia agak 'senyap' sepanjang 15 minit pertama tetapi sebaik menyedari hantaran jauh Abdullah Ramadan pada minit ke-20, dia hanya memerlukan dua sentuhan untuk menewaskan kapten negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, dan seterusnya penjaga gol, Farizal Marlias, menerusi satu lambungan gemilangnya.
Ini benar-benar ciri-ciri seorang 'instinct striker' atau 'penyerang dengan naluri pemusnah' yang dilakukan oleh bukan calang-calang pemain.
Berdasarkan fakta yang dipetik daripada laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Ali Mabkhout kini telah mengatasi Lionel Messi dan Sunil Chhetri selaku pemain aktif merekodkan jumlah gol antarabangsa kedua tertinggi di belakang bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.
Bercakap mengenai penyerang prolifik, terlalu jauh jurang kualiti itu jika dibandingkan dengan penggempur utama taruhan Tan Cheng Hoe, Guilherme (baca Zulhelmi) De Paula.
Pemain naturalisasi negara ini langsung tidak dapat menepati jangkaan yang diletakkan ke atasnya sepanjang perlawanan itu.
Sumbangan terbaiknya hanyalah menerusi satu tandukan pada penghujung babak pertama yang entah ke mana-mana perginya.
Seluruh peminat bingung, saya bingung, dan mungkin De Paula juga bingung dengan apa yang ingin dilakukannya dengan tandukan seperti itu.
Dan berdasarkan kualiti itu juga, mungkin amat sukar untuk De Paula mengatasi Ali Mabkhout tetapi berdasarkan tinjauan di laman-laman sosial, mudah sekali penyerang kelahiran Brazil berkenaan merebut tempat sebagai pemain paling tidak digemari peminat bola sepak negara ketika ini.