Skip to main content

Rencana

Anuar Manan datang lagi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

anuar-manang.jpg
Bekas pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan, berjaya dalam perjuangan awal - mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan.

Dia wajar mendapat pujian kerana membuktikan masih lagi pakar pecut terbaik walaupun berehat kira-kira setahun ekoran masalah kewangan pasukan Forca Amskins Racing.

Pada usia 34 tahun, Anuar bersaing dengan beberapa pelumba muda seperti Mohd Elmi Jumari dan Mohd Izzat Hilmi Abd Halil untuk merebut enam slot dalam skuad negara.

Saiz badan makin kembang tetapi Anuar berjaya menghadapi sesi pemilihan selama dua minggu dengan berkayuh lebih 1500km termasuk pendakian ke Genting Highland.

Ternyata, pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu ini masih gagah sekali gus memikat pengendali negara, Mohd Yusof Abd Nasir.

"Saya gembira apabila terpilih. Ini kali pertama mewakili skuad kebangsaan selepas Sukan SEA 2017.

"Saya akan cuba membimbing pelumba muda untuk mencabar LTDL 2020," katanya.

Legenda basikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, pula gembira dengan sikap Anuar.

"Dia masih mampu berkayuh. Dia ada sikap yang positif dan saya yakin dia akan memainkan peranan besar dalam skuad negara.

"Saya harap salah seorang pelumba tempatan, sama ada dalam TSG, TSC atau skuad kebangsaan, akan menjuarai peringkat perlumbaan tahun ini," katanya.

Bagi saya, Anuar umpama Abang Long saingan lebuh raya dan pelumba pertama negara yang menjuarai peringkat perlumbaan LTDL 2010 itu perlu membuktikan pemilihannya satu keputusan tepat.

Biar penampilan ini sensasi dan diwarnai dengan cerita kejayaan.

Selamat berjaya semua!

Advertisement

Must Watch Video