RENCANA
Anak murid nak lawan mentor
Pertembungan di antara Tottenham Hotspur dan Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris awal pagi esok akan menyaksikan Jose Mourinho bersua muka dengan bekas anak didiknya, Frank Lampard, sebagai seteru buat kali pertama.
Perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur itu juga akan menjadi penentu pasukan mana yang akan mengisi slot empat teratas menjelang waktu rehat pertengahan musim ini.
Lampard merupakan ayam tambatan Mourinho sepanjang dua eranya di Stamford Bridge dengan bekas pemain tengah itu membantunya untuk menjulang kejuaraan liga dalam kedua-dua era tesebut.
Namun, mereka kini akan bertemu sebagai rakan sejawatan buat dua kelab yang berseteru hebat di London itu.
Umum mengetahui keakraban Mourinho dan Lampard sepanjang berada di Chelsea, jadi mampukah kedua-dua individu itu menghapuskan sentimen berkenaan demi memacu pasukan masing-masing untuk berada di kedudukan terbaik menjelang separuh kedua musim ini?
Lampard, sebagai bekas pemain di bawah seliaan Mourinho, terlebih dahulu menyatakan kesediaannya untuk melupakan sentiman itu kerana menganggap perseteruan Chelsea-Tottenham lebih penting buat pemain dan pendukung pasukannya.
"Saya gembira dapat bertemu Jose. Saya sentiasa menghormatinya," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Fox Sports.
"Perkara lebih besar ialah Chelsea-Tottenham dan perseteruan ini memberikan makna yang besar buat kami.
"Perseteruan adalah apa yang anda rasa mengenai kelab anda.
"Penyokong kami mahukan sesuatu dalam perlawanan itu.
"Apa yang kami rasakan untuk perlawanan itu adalah keghairahan," katanya.
Bagi Mourinho pula, dia tidak ada sebarang sentimen untuk dikenang ketika berdepan Chelsea sambil melabel dirinya kini "100 peratus Tottenham".
"Saya 100 peratus Tottenham.
"Saya sentiasa 100 peratus untuk kelab saya dan tiada ruang untuk bekas kelab saya.
"Kelab saya adalah Tottenham, jadi ia amat mudah.
"Tidak sukar untuk menentukannya daripada aspek emosi.
"Kelab saya sentiasa yang terbaik di dunia.
"Yang terbaik dan terbesar di dunia," katanya.
Namun, bagi jurulatih berbangsa Portugis itu, dia sentiasa menganggap Lampard sebagai anak didiknya dan keakraban mereka tidak akan pernah berubah meskipun mereka kini bergelar musuh.
"Saya mungkin memberikannya pelukan mesra sebelum dan selepas perlawanan, itu sudah pasti.
"Ia tidak bergantung kepada keputusan perlawanan atau siapa yang lebih gembira.
"Saya fikir perasaan di antara kami akan kekal selama-lamanya.
"Saya sentiasa berterima kasih kepadanya di atas sumbangannya kepada saya sewaktu bergelar pemain.
"Tiada apa yang akan berubah.
"Saya sukakannya, saya sentiasa menggemarinya.
"Saya harap dia akan tewas," tambahnya.
Sama ada mentor atau anak didik yang akan memenangi perlawanan itu, ia pasti akan menarik perhatian setiap peminat Liga Perdana Inggeris untuk menyaksikannya.
Jika Mourinho menang, Spurs (kini di tangga ketujuh) akan memintas Chelsea di tempat keempat dengan perbezaan jaringan yang lebih baik.
Jika Lampard menang, ia akan mengubati rekod buruk Chelsea dalam liga selepas mereka tewas empat daripada lima perlawanan terakhir.
Mourinho atau Lampard, kedua-duanya pasti sudah bersedia untuk bersingsing lengan demi kelangsungan pasukan masing-masing musim ini.
Lebih-lebih lagi, slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan akan menjadi pertaruhan mereka.