Skip to main content

Rencana

Adakah Paul Scholes pemain terbaik Liga Perdana Inggeris?

Bukan Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney ataupun Ruud Van Nistelrooy tetapi Paul Scholes adalah pemain terbaik dan paling berpengaruh di Manchester United buat dua bekas pemain kelab itu, Tom Cleverley dan Ben Foster yang kini bersama Watford di Liga Perdana Inggeris.

Dalam temubual khas untuk rancangan Squeaky Bum Time baru-baru ini, Cleverley menyifatkan Scholes sebagai seorang pemain luar biasa.

Cleverley beraksi dengan United dari 2008 hingga 2015 yang menyaksikannya berpeluang mengerah kudrat bersama Scholes buat The Red Devils.

“Ketika di United, memang saya berpeluang beraksi dengan beberapa pemain berkelas dunia, tetapi tiada yang seperti Scholes.

“Scholes mempunyai kemahiran individu, teknik rembatan dan juga perwatakan seorang pemain hebat yang disegani,” kata Cleverley.



Foster yang menjadi antara benteng akhir United dari 2005-2010 turut senada dengan Cleverley mengenai Scholes.

“Scholes sebenarnya tidak banyak bercakap ketika dalam bilik persalinan dan mungkin pemain seperti Gary Neville lebih banyak bersuara.

“Dia tidak perlu banyak bercakap untuk membuatkan pemain lain memghormatinya kerana di dalam padang, kelibatnya luar biasa.

“Tetapi apabila Scholes bersuara, satu bilik persalinan akan senyap dan menghormati pandanganmya,” kata Foster.

Bagi penulis, United ketika ini masih mencari dan membentuk pemain yang sesuai untuk memainkan peranan seperti Scholes satu ketika dulu.

Ternyata Scholes yang melakukan lebih 700 penampilan buat United dari 1993 hingga 2013 adalah pemain tengah yang sukar dicari ganti.

Mungkin skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer kini boleh mengharapkan kelibat pemain Portugal, Bruno Fernandes selaku jeneral di bahagian tengah.

Namun masih sukar membandingkan pencapaian Fernandes dengan Scholes yang sudah merasai kesemua kejuaraan utama Inggeris dan Eropah bersama United.

Advertisement

Must Watch Video