Atlet memanah compound negara, Ng Sui Kim, berharap keputusan mengorbankan 'cinta pertama' iaitu acara recurve mampu menghadiahkan kemanisan dalam kariernya kali ini.
Sui kim melalui peralihan acara daripada acara recurve ke compound pada usia 31 tahun dan akan membuat penampilan sulung di pentas sukan SEA Thailand 2025.
Advertisement
Malah, dia turut berharap tuah dapat mengiringi kebangkitannya di Thailand setelah recurve gagal menghadirkan kenangan indah buat dirinya sebelum ini.
"Sebelum mahu bertukar ke compound, jadi saya lihat compound selesa sedikit dan mahu bertukar. Di recurve saya sudah lama jadi saya mahu cuba perkara baru.
"Perbezaannya daripada segi peralatan dan sasaran. Saya harap ada kemanisan kali ini," katanya.
Sui Kim yang memenangi pingat emas dalam Piala Asia siri kedua di Singapura Jun lalu, akan membawa cabaran negara dalam acara individu dan berpasukan wanita dalam temasya dwitahunan itu nanti.
Sandaran utamanya tampak diletakkan dalam acara berpasukan susulan kejayaan bersejarah di Singapura hasil gandingan mantap bersama Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Saritha Cham Nong.
Skuad memanah compound negara kini giat membuat persiapan akhir di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Nilai menjelang 10 hari lagi sebelum berlepas ke Bangkok.