Perancis tiba di Philadelphia sebagai pasukan yang memiliki jentera serangan paling digeruni dalam Piala Dunia 2026, tetapi Kylian Mbappe dan ketua jurulatih, Didier Deschamps, memberi amaran bahawa segala pujian, rekod dan laluan yang cerah langsung tidak bermakna andai mereka gagal melepasi rintangan Paraguay dalam perlawanan pusingan 16, Ahad ini.
Les Bleus telah memenangi keempat-empat perlawanan sepanjang kempen ini dengan koleksi 13 gol yang disumbangkan Mbappe, Ousmane Dembele, Michael Olise dan Bradley Barcola sementara bolos dua kali.
Di bangku simpanan mereka pula sarat dengan menawarkan bakat serangan bagi menyempurnakan rencana Deschamps menerusi kelibat Rayan Cherki, Desire Doue dan Jean-Philippe Mateta, sekali gus mengundang cemburu pihak lawan.
“Saya sedar sepenuhnya tentang apa yang dipertaruhkan, di mana saya berada dan apa yang perlu saya lakukan,” kata penggempur Real Madrid itu selepas menjaringkan gol berganda dalam kemenangan 3-0 ke atas Sweden.
“Mereka juga tahu apa yang perlu dilakukan di sini. Perlawanan baharu sedamg bermula.”
Deschamps turut memberi amaran bahawa kejayaan Paraguay menyingkirkan Jerman bukanlah satu kebetulan.
"Saya telah menonton perlawanan membabitkan Paraguay: apa yang telah mereka capai bukanlah satu kebetulan," katanya.
"Mereka adalah tipikal pasukan Amerika Selatan, kental dalam perebutan bola dan sangat gigih, bahkan mereka juga mempunyai pemain yang berkualiti tinggi. Tiada pasukan yang mara ke peringkat 16 Piala Dunia dengan secara kebetulan."