Ollie Watkins mendedahkan bahawa dia ada memberitahu Cole Palmer untuk melakukan hantaran bagi membantunya menjaringkan gol kemenangan England dalam aksi separuh akhir Euro 2024 di Dortmund awal pagi tadi.

Penyerang itu kemudian menjaringkan gol kemenangan England dengan bantuan Palmer untuk England menewaskan Belanda 2-1 dan layak ke penentuan kejuaraan hujung minggu ini.

The Three Lions, bagaimanapun, sekali lagi perlu bangkit daripada ketinggalan satu gol selepas jaringan awal Xavi Simons meletakkan Belanda di depan sebelum Harry Kane menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti tidak lama selepas itu.

Ditanya mengenai jaringannya, Watkins berkata dia sudah jangkakan jaringan itu sebaik Palmer mendapatkan bola berkenaan.

"Saya sudah menunggu momen ini berminggu-minggu," kata Watkins kepada ITV Sport selepas perlawanan itu.

"Saya berusaha keras untuk berada di sini hari ini. Mujurlah saya dapat peluang ini dan saya mengambilnya dengan sebaik mungkin. Saya amat gembira.

"Saya bersumpah atas hidup saya, atas hidup anak saya, bahawa saya sudah katakan kepada Palmer: Kita akan masuk hari ini dan anda akan membantu saya menjaringkan gol.

"Kerana itulah saya dan Coley amat gembira. Saya tahu sebaik dia mendapat bola, dia akan melakukan umpanan kepada saya dan anda perlu menjadi tamak.

"Saya sentuh dan menyudahkannya. Apabila saya melihat ia menuju ke penjuru bawah, ia satu perasaan terbaik," katanya.