LALIGA
Zidane tidak berminat isu sengketa dalaman Madrid
Zinedine Zidane mempertahankan kelibat Isco dan Marcelo sebaik bersetuju untuk kembali ke Real Madrid sambil menegaskan perbincangan perpindahan pemain bukan keutamaannya.
Legenda Perancis itu kembali ke Santiago Bernabeu selepas 10 bulan membantu kelab berkenaan menjulang kejayaan Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ketiga berturut-turut.
Santiago Solari dipecat semalam selepas dilantik bagi menggantikan Julen Lopetegui.
Di bawah bimbingan pengurus berbangsa Argentina itu, Real Madrid ditunjukkan jalan kecewa daripada saingan UCL dan Copa del Rey serta seolah-olah bergelut dengan keretakan skuadnya itu berikutan jarang mengetengahkan Isco dan Marcelo.
Kedua-duanya hanya diturunkan dalam kesebelasan utama sebanyak lima dan 12 perlawanan LaLiga musim ini -- padahal ketika era Zidane, mereka amat berjaya.
Justeru pengurus berusia 46 tahun itu memutuskan untuk tidak menilai prestasi mereka itu ketika di bawah pengurus lain.
"Pemain di sini telah memenangi banyak gelaran," kata Zidane ketika ditanya tentang Isco dan Marcelo.
"Saya tidak mahu masuk campur tentang apa yang berlaku di antara orang lain, saya hanya mahu kembali ke pangkuan skuad ini, bekerja dengan mereka dan melakukan perkara yang betul."
Gareth Bale merupakan salah seorang daripada beberapa pemain yang dikaitkan dengan perpindahan di sebalik cadangan penambahbaikan skuad itu pada akhir musim ini.
Eden Hazard dipercayai berada dalam senarai pemain yang dikehendaki manakala khabar angin juga timbul dengan dakwaan Cristiano Ronaldo sedia bergabung semula dengan Zidane.
Bagaimanapun, perbincangan tersebut perlu ditangguhkan terlebih dahulu.
"Kita semua mengenali Cristiano, salah seorang pemain terbaik dalam sejarah kelab ini," kata Zidane.
"Tetapi hari ini saya bukan datang untuk membicarakan perkara-perkara ini. Ketika ini, saya langsung tidak terlintas mengenai soal perpindahan.
"Saya sangat gembira untuk kembali ke kelab ini dan saya hanya memikirkan 11 lagi baki perlawanan yang akan kami lalui. Kami akan mempunyai masa untuk melihat perkara lain selepas ini."