UCL

Zidane bakal kemudi Perancis

Astro Arena 24/05/2017 | 00:42 MYT
Bekas tonggak Perancis, Frank Leboeuf, menjangkakan pengurus Real Madrid yang juga bekas rakan sepelatihnya, Zinedine Zidane, bakal menggantikan Didier Deschamps sebagai jurulatih Les Bleus.
Masih segar dinobatkan sebagai juara LaLiga buat kali pertama sebagai jurulatih, saham Zidane naik mendadak dalam peta Eropah sejak membawa gelaran Liga Juara-Juara ke kelab gergasi Sepanyol itu, musim lalu.
Ia merupakan satu peningkatan mendadak dan lancar bagi Pemain Terbaik Dunia sebanyak tiga kali itu -- yang pernah menyarung jersi Madrid dari 2001 hingga 2006 -- selepas melangkah ke bidang kejurulatihan dalam kancah skuad senior apabila menggantikan Rafael Benitez pada Januari 2016.
Dalam usahanya mempertahankan gelaran Liga Juara-Juara apabila bakal berhitung dengan Juventus, awal bulan depan -- belum pernah sesebuah kelab memenangi kejuaraan berprestij itu secara berturut-turut -- Zidane sudah pun dikenal pasti untuk menggalas tugas bersama Perancis.
"Saya tidak tahu bilakah Deschamps akan membuat keputusan atau Persatuan Bola Sepak Perancis (FFF) akan membuat keputusan untuk menyingkirkannya tetapi kita semua berasakan bahawa Zidane akan menjadi jurulatih kebangsaan yang seterusnya," ujar Leboeuf kepada BBC World Service mengenai Zidane, yang turut memenangi Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 bersama Perancis.
"Kalau dia berterusan mengecapi kejayaan sebagai jurulatih di Real Madrid, maka dia tidak akan menyahut tawaran itu biarpun jawatan itu kosong.
"Sukar untuk kekal lama sebagai jurulatih di Madrid, (Florentino) Perez bukanlah seorang yang penyabar. Zidane akan menyertai pasukan kebangsaan, itu pasti."
Leboeuf terus memuji Zidane, 44, dengan menambah: "Seolah-olah apabila Zinedine Zidane menyentuh sesuatu, ia bertukar menjadi emas.
"Apabila Real Madrid mengambil keputusan untuk menamakannya sebagai ketua jurulatih, dia datang ke bilik persalinan sebagai seseorang yang pernah memenangi Piala Dunia dan telah bekerja keras untuk kelab selain gelaran Liga Juara-Juara dengan voli hebat di Glasgow (pada 2002), jadi dia dihormati dalam bilik persalinan.
"Tetapi, saya berasakan pengalamannya bersama Carlo Ancelotti sebagai pembantu dan kemudian bertindak sebagai jurulatih pasukan simpanan menawarkannya pengalaman yang cukup berharga untuk melaksanakan tugasnya."
;