LALIGA
Zidane akan jadi penyelamat Madrid, kata Isco
Penyerang Real Madrid, Isco, memberikan penghormatan terhadap ketua jurulatihnya, Zinedine Zidane, selepas legenda itu kembali ke Sepanyol pada waktu sukar yang dilalui Los Blancos.
Zidane melengkapkan legasinya di Madrid dalam tempoh 28 bulan selaku pengendali gergasi Sepanyol itu -- sejak Januari 2016 -- dengan menjulang tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah dan satu kejuaraan LaLiga.
Legenda Perancis itu meninggalkan Santiago Bernabeu pada Mei 2018 dan Presiden Madrid, Florentino Perez, telah memecat dua jurulatih sepanjang sembilan bulan sebelum kepulangannya.
Penyandang juara Liga Juara-Juara Eropah itu diaibkan dengan kekalahan 4-1 di laman sendiri oleh Ajax, sekali gus menamatkan pemburuan kejuaraan keempat berturut-turut mereka dalam kejohanan itu.
Mereka kini turut ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu LaLiga, Barcelona.
Zidane akan menjalankan tugasan pertamanya sejak kembali menerajui Madrid dalam perlawanan dengan Celta Vigo, malam esok.
Dengan kehadiran Zidane yang layak digelar ikon Madrid, Isco berasakan pengendali berusia 46 tahun itu perlu mendapatkan kepercayaan penuh bagi memulihkan empayar teragung yang runtuh sepanjang pemergiannya sebelum ini.
"Kita semua mengenalinya.
"Sebagai pemain, dia amat luar biasa.
"Sebagai jurulatih, dia sudah memenangi segala-galanya.
"Ia amat hebat untuk semua pemain apabila dia kembali untuk menyertai Real Madrid.
"Dia layak mendapat pujian tertinggi kerana kembali ke pasukan ini pada waktu sukar.
"Dia cintakan Real Madrid dan saya berharap dia akan kembali membawa kami ke landasan kemenangan," katanya.