Skip to main content

Bola Sepak

Zahasmi tagih semangat juang TPW, sokongan padu penyokong

tpw-kelantan-piala-presiden.jpg
Biarpun turun tanpa lima tonggak utamanya, skuad Kelantan yakin mampu memberi cabaran sengit kepada Terengganu (TFC) III dalam saingan suku akhir pertama Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, petang ini.

Ketua jurulatih The President Warriors (TPW) , Zahasmi Ismail, mengakui hanya semangat juang tinggi pemain dan sokongan padu penyokong tuan rumah mampu menjadi azimat terbaik untuk melayan skuad kendalian Badrul Hafzan Razali itu yang cukup bertenaga selepas menjuarai liga Kumpulan B.

"Kami kehilangan Mohd  Aiful (Alias), Imran (Samso), Danial Hakim, Danial Asyraf (Abdullah) dan Fikri (Che Soh) yang dipanggil menguatkan skuad utama Kelantan bersaing dalam kempen Piala Malaysia.

"Namun, itu bukan alasan untuk menyerah kalah tetapi membangkitkan semangat kepada pemain yang ada untuk menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi.

"Terengganu FC  III sebuah pasukan yang kuat tetapi kami akan melakukan sesuatu untuk memerangkap mereka di sini. Kami perlukan kemenangan untuk selesa dalam suku akhir kedua," katanya.

Ditanya mengenai gandingan penggempur Nik Azli Nik Alias dan Afiq Salahuddin, Zahasmi yakin mereka mampu melakukan yang terbaik untuk merobek gawang lawan bagi mencari bekalan jaringan.

"Afiq  akan memikul tanggungjawab mencari jaringan manakala Nik Azli masih belum cergas sepenuhnya.

"Kami tengok prestasi semua pemain dalam sesi latihan terakhir sebelum menamakan kesebelasan utama," katanya.

Untuk rekod, TPW  melayakkan diri ke suku akhir apabila menduduki tempat keempat dalam kumpulan A dan diundi bertemu Terengganu (TFC) III yang mengungguli Kumpulan B  Liga Piala Presiden.
 

Advertisement

Must Watch Video