Yusri sahut peluang demi kebaikan
Penulis Jemputan
April 15, 2019 20:02 MYT
April 15, 2019 20:02 MYT
"Saya bukan terdesak." Itu pengakuan Yusri Che Lah selepas membuat keputusan untuk kembali mengendalikan pasukan 'bermasalah', Kelantan, hanya sebulan selepas meninggalkan skuad Kuala Lumpur.
Yusri tiba untuk menggantikan tempat Marco Kraljevic dengan menandatangani kontrak semusim bersama The Red Warriors (TRW).
Keputusan itu tampak mengejutkan kerana pada November tahun lalu, Yusri, menolak tawaran untuk membimbing pasukan itu apabila memilih mengemudi skuad Warga Kota.
Apatah lagi, ketika ini Kelantan berdepan dengan kemelut dalaman yang membabitkan pihak pengurusan dan tunggakan gaji pemain.
"Saya bukan seorang jurulatih yang mempunyai nama besar seperti Irfan Bakti (Abu Salim), Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh kerana mereka telah mencapai kejayaan besar dalam kancah bola sepak Malaysia.
"Saya harus mendukung peluang yang ada kerana saya fikirkan ia satu kebaikan untuk dilaksanakan," katanya.
Pencapaian terbaik Yusri bersama Kelantan sebelum ini ialah kejayaan membawa pasukan itu layak ke suku akhir Piala Malaysia.
Perkara utama yang mahu dilakukannya bersama Kelantan adalah mengekalkan khidmat Nik Akif Syahiran Nik Mat yang menjadi buruan beberapa pasukan gergasi tempatan.
"Itu yang saya ingin lakukan supaya pemain-pemain ini terus memulihkan Kelantan secara amnya dan secara khususnya terpilih untuk Sukan SEA Filipina 2019," katanya lagi.