WWC: Berakhirnya era dominasi wanita AS

Asmawi Bakiri
Ogos 8, 2023 14:41 MYT
Dalam dunia bola sepak, kisah kejayaan dan dominasi seringkali diselang-selikan dengan cerita perubahan dan transformasi.
Bola sepak wanita tidak terkecuali dalam perkara ini kerana perkembangan terbaru di pentas dunia telah menyorot perubahan besar dalam dinamik kuasa.
Amerika Syarikat, dahulunya digelar ‘ratu tanpa tandingan’ dalam genre bola sepak wanita, kini berhadapan kemelut yang menuntut perubahan dan adaptasi buat pasukan kebangsaan mereka.
Adegan yang berlaku di Melbourne semalam pastinya sukar untuk dilupakan buat jangka masa yang panjang – pasukan Sweden meraikan kejayaan diiringi alunan lagu “Dancing Queen” daripada kumpulan ABBA tatkala penjaga gol Amerika Syarikat (AS), Alyssa Naeher, pegun tanpa bicara.
Dalam perlawanan yang berkesudahan dengan sepakan penalti penentuan, sistem VAR diperlukan untuk mengesahkan sama ada sepakan terakhir pemain Sweden, Lina Hurtig, telah melintasi garisan gol ataupun tidak.
Keputusannya adalah satu milimeter. Bola melintasi garisan dengan hanya satu milimeter, maka ia dikira sebagai gol yang sah. Satu milimeter menjadi jarak pemusnah impian Amerika Syarikat, juga jarak perbezaan di antara kemenangan dan kekalahan.
Buat sekian lama, pasukan wanita AS berdiri sebagai kuasa dunia yang tidak tergoyahkan, disokong oleh kejuaraan yang begitu banyak bilangannya berserta imej kekebalan.
Tatkala seluruh dunia masih cuba mengenali potensi yang ada dalam genre sukan ini pada suatu masa dahulu, AS telah menjadi pelopornya.
Sebelum kekalahan semalam, AS hadir sebagai juara yang membolot Piala Dunia Wanita sebanyak empat kali, termasuk menjadi juara berturut-turut dalam dua edisi sebelumnya pada 2015 dan 2019.
Namun, masa membuktikan bahawa seluruh dunia yang lain telah berjaya mengejar dan aspek dinamik yang sedia ada tidak lagi serupa.
Segala naratif tentang tekad dan keunggulan yang dikatakan menjadi lambang pasukan AS dipersoalkan, dakwaan bahawa warga AS menginginkan kejayaan lebih daripada mana-mana negara lain ingin dibuktikan adalah salah.
Ketika negara-negara lain turut sama mula melaburkan wang dan usaha dalam liga profesional, perkembangan pemain dan kepakaran jurulatih, lanskap pertandingan telah mula berubah, dan keputusan dalam pertandingan kali ini menjadi bukti paling kukuh.
Aspek kecelaruan taktikal AS bukanlah satu-satunya masalah yang disorot dalam pertandingan ini, malah kemampuan pengurus serta masalah pemain yang terhad tidak lagi dapat diselindungkan.
Pengurus mereka, Vlatko Andonovski, bergelut untuk membina identiti yang jelas buat pasukan biarpun telah mengendalikan skuad selama empat tahun lamanya dan masih kekal menggunakan sistem taktikal yang telah lapuk ditelan zaman.
Akhbar The Guardian menyatakan bahawa dia seringkali menepis sebarang soalan yang meminta pendapat tentang kuasa-kuasa dunia yang lain semakin lama semakin menyamai kekuatan skuadnya, kini tiada lagi sebarang alasan yang boleh diberikan.
Ironinya, kekalahan semalam sebenarnya merupakan persembahan terbaik AS dalam pertandingan ini.
Setelah beraksi hambar sepanjang peringkat kumpulan dan nyaris-nyaris disingkirkan oleh Portugal, mereka bangkit untuk mendominasi Sweden dan mempamerkan aksi yang telah sekian lama dirindukan oleh kesemua penyokong mereka.
Malang sekali, segala usaha mereka digagalkan oleh penjaga gol Sweden, Zecira Musovic, yang melakukan sejumlah 11 tampanan sepanjang perlawanan dan memastikan gawang Sweden kekal tidak dibolosi, termasuk menyelamatkan tiga percubaan dalam penentuan sepakan penalti dan turut sama menggalas tugas untuk melakukan sepakan sendiri lalu menyempurnakannya.
Saluran media AS kini mendakwa mereka memerlukan sumber yang lebih bermutu dalam membentuk barisan pemain generasi seterusnya kerana sistem melantik pemain dari kolej-kolej yang menjadi sandaran selama ini terbukti tidak lagi mencukupi.
Lebih penting lagi, akademi pemain muda dan liga negara mereka sendiri dikatakan semakin jauh jurang kualitinya dengan kelab-kelab Eropah.
Dengan Sukan Olimpik di Paris menjadi matlamat seterusnya, AS harus beradaptasi dengan realiti bahawa dominasi pasukan mereka tidak lagi menjadi satu kepastian pada masa kini.
Segala nostalgia dan kegemilangan masa lalu tidak lagi mencukupi untuk dijadikan pembakar semangat, sebaliknya penilaian kritikal terhadap sistem, falsafah dan strategi merupakan apa yang paling mereka perlukan demi meraih semula takhta yang telah dirampas.
#bola sepak wanita #Amerika Syarikat #Rencana #Pial Dunia Wanita
;