William Saliba gembira untuk kembali beraksi dalam kemenangan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan Arsenal dengan Nottingham Forest.
Pemain pertahanan Perancis itu terlepas minggu-minggu penutup musim lalu akibat kecederaan belakang dan ketiadaannya amat memberi kesan kepada Arsenal yang tergelincir dari tangga teratas untuk menamatkan saingan dengan lima mata di belakang juara, Manchester City.
Sebelum kecederaan melandanya, The Gunners selesa di puncak sambil Saliba membentuk gandingan hebat dengan Gabriel Magalhaes.
Saliba kembali ke pangkuan pasukan untuk kemenangan 2-1 ke atas Forest dengan mencipta bantuan gol untuk jaringan memukau Bukayo Saka selepas percubaan melencong Eddie Nketiah terlebih dahulu memecah kebuntuan.
"Saya amat gembira," katanya mengenai kepulangannya yang kompetitif.
“Saya masih bukan berada di tahap 100 peratus buat masa ini tetapi saya cuba mengerahkan segala kudrat demi kembali kerana sudah lama saya tidak beraksi.
"Saya terlepas perlawanan akibat kecederaan dan saya sangat gembira dapat bersama pasukan. Pasukan dan kakitangan membantu saya menjadi lebih baik dan kembali ke tahap terbaik.
“Ia sentiasa menjadi satu perasaan yang lebih baik dapat beraksi di laman sendiri. Saya tidak berasa sebarang tekanan, saya tidak berasa sebarang kesakitan, jadi ia bagus."