Skip to main content

Bola Sepak

Wigan lebur harapan empat kejuaraan Man City

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

aguero_3.jpg
WIGAN ATHLETIC 1 MANCHESTER CITY 0 

Adegan pergaduhan Sergio Aguero dengan seorang peminat mencemari kemenangan 1-0 Wigan Athletic ke atas Manchester City dalam aksi Piala FA, awal pagi tadi. 


Will Grigg meledak gol tunggal perlawanan ketika perlawanan mencecah minit ke-79 untuk menempah tiket suku akhir menentang Southampton sambil skuad dari kancah Liga Satu itu turut meranapkan harapan The Citizens merakamkan sejarah meraih empat kejuaraan dalam semusim. 

Sebaik wisel penamat ditiupkan di Stadium DW, sekumpulan penyokong tuan rumah bertindak memasuki padang untuk meraikan kejayaan itu dan rakaman televisyen menunjukkan seorang peminat Wigan mendekati Aguero dari belakang lalu mengatakan sesuatu terhadap penyerang Argentina berkenaan yang kemudian menghayunkan tangan kanannya ke arah lelaki itu. 

Pertahanan Wigan, Cheyenne Dunkley, cuba membantu meredakan keadaan sambil Aguero kelihatan berang.

Sementara itu, sebahagian penyokong pelawat turut berbalah dengan pengawal keselamatan, termasuk membaling objek seperti papan iklan. 

Lantaran itu, Pengerusi Wigan, David Sharpe, memberitahu BBC Radio 5Live: "Tidak manis untuk ditonton, bola sepak adalah emosi, itu adalah apa yang dilakukannya kepada peminat. Tetapi saya tidak suka melihat insiden seperti ini pada akhir permainan.

"Ia adalah kejutan besar tetapi kita perlu bersaing dalam permainan, saya tidak suka apa yang saya lihat di sini."

Terdahulu, ketegangan timbul di antara kedua-dua pasukan membabitkan pemain dan jurulatih berikutan bek kiri City, Fabian Delph, dibuang padang atas kekasaran terhadap Max Power pada babak pertama -- terjahan itu mengakibatkan pemain England berkenaan terlepas final Piala Liga Inggeris menentang Arsenal, hujung minggu ini. 

Pada awalnya, pengadil, Anthony Taylor, hanya memegang kad kuning sebelum menukar fikiran dengan hukuman lebih keras sehingga mengundang reaksi tidak senang kem City, termasuk Pep Guardiola, di bangku simpanan. 

Bagaimanapun, rakan sejawatan Guardiola, Paul Cook, enggan memperbesarkan perkara itu. 

"Tiada masalah," kata pengurus Wigan itu kepada BBC Sport. "Dari sudut pandangan kami, kami cuba menggunakan setiap kelebihan dengan kemampuan yang ada dan dari sudut pandangannya, dia mahu permainan diteruskan dan dia seorang pengurus hebat."

Advertisement

Must Watch Video