West Ham pertahan tindakan turunkan Zouma
Shaiful Shamsudin
Februari 9, 2022 09:05 MYT
Februari 9, 2022 09:05 MYT
WEST HAM 1 WATFORD 0
Pengurus West Ham, David Moyes, mempertahankan tindakannya tetap menurunkan Kurt Zouma dalam kemenangan ke atas Watford di London, awal pagi tadi.
Satu rakaman memaparkan pertahanan itu telah menendang seekor kucing di lantai dapur di rumahnya selain turut menamparnya ketika berada dalam pelukan seorang kanak-kanak.
Rakaman itu disiarkan oleh abang Zouma, Yoan, di Snapchat.
Pemain antarabangsa Perancis itu mengeluarkan kenyataan awal mengenai kekesalannya dan insiden itu turut dikecam oleh kelab, kumpulan kebajikan haiwan.
Zouma, bagaimanapun, tetap memulakan pertembungan The Hammers dengan Watford di Stadium London, dan beraksi sepanjang permainan ketika menang 1-0 untuk mengangkat pasukan bimbingan Moyes itu ke tangga keempat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Walaupun pengurus itu mengakui kecewa sambil mengecam tindakan anak buahnya itu yang disifatkannya sebagai "satu situasi yang buruk", tetapi dia menegaskan perkara berkenaan sedang ditangani secara dalaman.
“Saya benar-benar kecewa dan kelab telah mengambil segala tindakan yang boleh dilakukan pada masa ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas perlawanannya.
"Mereka sedang menanganinya secara tertutup. Tugas saya ialah memilih barisan terbaik buat West Ham dan Kurt adalah sebahagian daripada pasukan ini.
“Saya rasa kelab lebih gemar menanganinya ketika tepat pada masanya dan mereka akan memaklumkan bentuk hukumannya.
"Saya benar-benar kecewa dengan apa yang saya lihat dan apa yang diberitahu kepada saya. Tetapi seperti yang saya katakan, adalah tugas saya untuk menampilkan pasukan terbaik untuk West Ham. Akan ada orang yang akan kecewa dengan tindakan saya ini dan saya faham sepenuhnya.
"Saya sangat mengambil berat tentang anjing dan kuda saya dan semua orang yang berkaitan dengan saya. Kami telah berbincang dan kami perlu melupakan perkara ini.
"Kami mahu meraih kemenangan dan kami faham tiada siapa yang akan gembira mengenainya. Ia adalah satu situasi yang teruk."