LIGA INGGERIS

West Ham lengkapkan perpindahan termahal Paqueta

Muzaffar Musa 30/08/2022 | 04:03 MYT
West Ham menandatangani pemain tengah Brazil, Lucas Paqueta, daripada Lyon dengan rekod perpindahan termahal kelab itu.
Paqueta akan ke London dari Lyon dengan perbelanjaan yang dilaporkan bernilai €43 juta (RM192.85 juta) dengan kesepakatan yang dikatakan boleh meningkat sebanyak €17 juta (RM76.24 juta).
Pemain berusia 25 tahun itu mengikat kontrak selama lima tahun dengan pilihan untuk melanjutkannya setahun lagi.
Paqueta sebelum ini dikaitkan akan mengikuti jejak bekas rakan sepasukannya di Lyon dan Brazil, Bruno Guimaraes, untuk ke Newcastle United.
Bagaimanapun, dia kini menjadi seteru rakannya itu selepas menjadi pemain kelapan ditandatangani West Ham dalam jendela perpindahan kali ini.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Saya amat gembira untuk berada di sini. Saya harap ia akan menjadi permulaan satu pengembaraan yang menyeronokkan. Saya harap tempoh saya di sini akan memberikan kejayaan.
"Musim lalu, West Ham melaluinya dengan amat baik dan saya berharap mereka akan terus menikmati lebih banyak musim yang baik sepanjang saya berada di kelab ini.
"Saya tidak sabar untuk menyarung jersi West Ham dan menunjukkan kepada penyokong apa yang saya boleh lakukan," katanya.
Paqueta, yang juga merupakan bekas perancang AC Milan, akan menyarung jersi nombor 10 dan berpeluang untuk melakukan penampilan pertama bersama West Ham sewaktu menentang Tottenham dalam 'Derby London' awal pagi Khamis ini.
#bola sepak #Liga Perdana Inggeris #West Ham #Lucas Paqueta
;