Skip to main content

Bola Sepak

Wesley Fofana kritik Brendan Rodgers sebaik sah ke Chelsea

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wesley-fofana.jpg
Wesley Fofana membidas Brendan Rodgers selepas mengesahkan perpindahannya ke Chelsea apabila pengurus Leicester City itu seperti sengaja mahu menjadikannya sebagai tajuk utama dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Fofana melengkapkan perpindahannya ke Stamford Bridge awal pagi tadi dengan menandatangani kontrak selama tujuh tahun dengan perjanjian bernilai £75 juta (RM389.2j).

Leicester menolak beberapa bidaan daripada Chelsea sebelum tuntutan mereka itu dipenuhi tetapi pemergian pertahanan tersebut tidak berjalan dengan harmoni. 

Fofana terpaksa berlatih bersama skuad bawah 23 tahun The Foxes selepas menyatakan keinginannya untuk ke London yang mendorong Rodgers mengatakan fikiran anak buahnya itu bercelaru untuk dipertaruhkan. 

Rodgers juga membandingkan sikap Fofana dengan Harry Maguire, yang meninggalkan Leicester ke Manchester United pada 2019, apabila menyatakan: "Harry, daripada segi tingkah laku dan tumpuannya untuk kelab, dia hebat hingga minit terakhir, kemudian dia berkelana. Jadi ia situasi yang berbeza."

Dalam mesej yang ditujukan kepada penyokong Leicester, Fofana mengecam komen palsu dan mengelirukan yang dibuat oleh bekas majikannya itu. 

"Sepanjang dua musim di sini, saya mungkin pernah mengalami detik paling sengit dalam karier awal. Saya telah berkembang sebagai pemain malah sebagai seorang manusia," tulisnya di Instagram.



“Terima kasih kepada anda, peminat Foxes, atas kebaikan anda dan sokongan berterusan anda walaupun pada saat-saat anda dipengaruhi untuk mempercayai bahawa saya tidak menghormati kelab.

"Saya memilih untuk tidak berkomunikasi ketika jendela perpindahan ini di sebalik segala kritikan dan semua komen palsu dan mengelirukan, termasuk bekas kelab saya. Saya faham dan saya belajar.

"Saya tidak mahu merosakkan imej institusi dan saya memilih untuk menelannya daripada menjawabnya. Saya berterima kasih kepada Top (Pengerusi Leicester, Aiyawatt Srivaddhanaprabha) kerana memahami. 

“Terima kasih kepada pengurus, kepada jurulatih yang sentiasa menghargai saya walaupun dia memilih untuk mendedahkan saya sejak kebelakangan ini. 

"Saya faham, hubungan jurulatih dengan ada pasang surut tetapi saya tidak pernah menipu, anda boleh pastikan tentang hal ini."

Fofana mungkin berada dalam barisan utama untuk membuat penampilan sulungnya bersama Chelsea apabila mereka melayani kunjungan West Ham Sabtu ini dan pasukan kendalian Thomas Tuchel itu baru tumpas 1-2 kepada Southampton. 


Advertisement

Must Watch Video