LIGA INGGERIS
Wenger harap Mkhitaryan kembali beraksi
Arsene Wenger berharap Henrikh Mkhitaryan akan kembali beraksi musim ini walaupun pemain kebangsaan Armenia itu mengalami kecederaan ligamen lutut ketika berdepan CSKA Moscow.
Mkhitaryan mengalami kecederaan pada minit ke-61 ketika Arsenal meraih kemenangan 4-1 ke atas CSKA dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa (UEL), Khamis lalu.
Pemain yang tiba pada Januari lalu dari Manchester United itu terlepas aksi berdepan Southampton yang berkesudahan menang 3-2 dan tidak akan dapat diturunkan ketika berdepan CSKA, minggu ini.
Wenger telah mengetepikan pemain berusia 29 tahun itu bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) seterusnya berdepan Newcastle United dan West Ham.
"Dia mengalami kecederaan ligamen lutut," kata Wenger.
"Dia tidak akan beraksi dalam tempoh beberapa minggu ini.
"Tetapi saya masih lagi berharap Mkhitaryan dapat diturunkan pada penghujung musim ini."
Dalam ketiadaan Mkhitaryan, Danny Welbeck menjaringkan dua gol ketika membantu Arsenal merakamkan kemenangan keenam berturut-turut dalam semua kejohanan ke atas Southampton di Stadium Emirates.