Jurgen Klopp gembira dengan penampilan sulung Wataru Endo di Liverpool dalam kemenangan 3-1 ke atas Bournemouth kelmarin sambil mengakui pembelian baru itu tidak tahu apa yang perlu dilakukan secara taktikal.

Ketua pasukan Jepun itu hanya melengkapkan perpindahannya daripada Stuttgart Jumaat lalu dan merupakan tambahan lewat untuk melayani kunjungan Bournemouth sebaik menerima sijil perpindahan antarabangsanya (ITC).

Begitupun, pemain berusia 30 tahun itu terpaksa dimasukkan berikutan Alexis Mac Allister dibuang padang sebelum sejam permainan biarpun tugas itu dipermudahkan oleh Diogo Jota yang menjadikan kedudukan 3-1 untuk Liverpool.

“Ia adalah perlawanan sulung yang mengerikan buatnya,” kata Klopp.




“Dia melakukan segalanya dengan tepat tetapi dia dimasukkan tanpa mengetahui apa yang harus dilakukan.

"Saya sempat berbincang dengannya pada pagi hari perlawanan tentang pendekatan permainan kami dengan 11 pemain tetapi 4-4-1 tidak terlibat dalam perbualan kami.

“Saya tidak fikir dia dapat tidur lena dalam dua malam terakhir ini tetapi dia turun dan memperagakan segala kemampuannnya di atas padang.”

Dalam masa sama, Klopp turut memuji seorang lagi bintang tengah baru mereka, Dominik Szoboszlai.

"Saya terpaksa menahannya sedikit ke bawah. Dia merupakan satu-satu pemain yang mempunyai tenaga lebih," katanya lagi.