Skip to main content

Bola Sepak

Waspada penstriman haram -- Astro lancar ‘Boot Out Piracy’ edisi kelima

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

piracy.jpg
Liga Perdana Inggeris, dengan kerjasama rakan penyiar tempatan Astro, melancarkan edisi terbaharu kempen tahunan ‘Boot Out Piracy’ di Malaysia, bagi menekankan risiko tersembunyi yang dihadapi peminat melalui penstriman haram.

Kini memasuki edisi kelima di Malaysia, beberapa bintang bola sepak terkenal turut menyumbangkan suara mereka untuk memberi kesedaran kepada peminat melalui kempen ‘Boot Out Piracy’. 

Antara yang terlibat ialah  Martin Ødegaard (Arsenal), Amad Diallo (Manchester United), Raúl Jiménez (Fulham), Dan Burn (Newcastle United) dan Matty Cash (Aston Villa). Para pemain ini menyeru peminat untuk menonton secara sah dan selamat, dengan menekankan bahawa mengakses kandungan melalui laman web cetak rompak atau peranti 
penstriman haram (ISD) mendedahkan pengguna kepada risiko yang serius.

Penjenayah siber mengeksploitasi perkhidmatan penstriman haram dengan mendedahkan peminat Malaysia kepada perisian hasad (malware), penipuan pancingan data (phishing), kecurian maklumat peribadi, dan kandungan berbahaya atau tidak sesuai. Risiko tersembunyi ini boleh menjejaskan keselamatan diri dan  keluarga.

Satu kajian terkini oleh pakar keselamatan siber, Profesor Paul Watters, mendedahkan bahawa kebanyakan laman web cetak rompak mengandungi perisian hasad, pancingan data atau spam. Laman web tersebut juga mendedahkan pengguna kepada iklan berbahaya yang mempromosikan perjudian, kandungan dewasa atau  penipuan.

Hasil kajian menunjukkan bahawa di Malaysia:

• Laman web cetak rompak adalah lebih 12 kali ganda berisiko berbanding laman arus perdana dalam mendedahkan orang ramai kepada penipuan.

• Setiap laman web cetak rompak dikenal pasti mengandungi sekurang-kurangnya satu ancaman siber seperti perisian hasad, pancingan data atau penipuan.

• Hampir separuh daripada semua iklan (45 peratus) di laman web cetak rompak mempromosikan kandungan berbahaya.

• Analisis terhadap peranti penstriman haram (ISD) dan aplikasi cetak rompak mendapati pengguna mungkin tanpa sedar talian internet mereka digodam dan dikaitkan dengan aktiviti jenayah, sekaligus mendedahkan mereka kepada penipuan, perisian hasad, malah siasatan oleh pihak penguatkuasa undang-undang.

Penasihat Undang-Undang Am Liga Perdana Inggeris, Kevin Plumb, berkata: “Penstriman haram mungkin kelihatan tidak berbahaya, tetapi risikonya jauh melangkaui isu kualiti video yang rendah. Kajian yang dijalankan oleh pakar keselamatan siber sentiasa menekankan bahaya besar yang wujud apabila menggunakan laman web dan peranti cetak rompak.

“Kami bekerjasama dengan rakan penyiar dan pihak berkuasa tempatan di seluruh dunia untuk membanteras penstriman haram, tetapi cetak rompak kekal sebagai satu cabaran yang sentiasa berubah-ubah.

“Menerusi kempen Boot Out Piracy, kami ingin menegaskan bahawa mereka yang menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris melalui laman web atau peranti cetak rompak sebenarnya mendedahkan diri mereka dan ahli keluarga kepada risiko kecurian data, ancaman siber dan penipuan, yang boleh membawa keburukan besar.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Astro dalam menyampaikan mesej penting ini kepada peminat di Malaysia, dan menggalakkan peminat menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris secara sah dan bertanggungjawab.”

Sebagai penyiar eksklusif Liga Perdana Inggeris di Malaysia, Astro memainkan peranan penting dalam kempen ‘Boot Out Piracy’.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Malaysia Holdings Berhad Euan Daryl Smith “Peminat yang menonton perlawanan melalui saluran rasmi perlu sedar masih ada segelintir yang memilih jalan mudah dengan menonton secara cetak rompak. Realitinya, ramai yang sanggup mengambil risiko tanpa menyedari bahaya yang menanti, termasuk penipuan, kecurian data dan perisian hasad yang boleh mengancam keselamatan keluarga.”

“Astro konsisten mengambil tindakan terhadap kegiatan itu dengan berjaya memulihkan hampir RM300,000 melalui prosiding mahkamah selain menyekat ratusan ribu laman sesawang, pautan serta siaran haram.”

“Langkah ini bukan sahaja bertujuan melindungi perniagaan, malah memastikan keselamatan peminat di samping menjaga rezeki semua yang terlibat membawa aksi bola sepak ke kaca televisyen.”

“Dengan kerjasama Liga Perdana Inggeris dan pihak berkuasa, tumpuan kami adalah jelas: memastikan peminat dapat menonton perlawanan yang mereka cintai dengan cara paling selamat dan boleh dipercayai”
 
Whey Protein

Bina Otot Padu

Nutrisi penting yang jadi pilihan atlet untuk prestasi harian.


Cuba Sekarang

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video