Wan Mustaffa sudah hadiri temu duga penolong jurulatih Harimau Malaya
Muzaffar Musa
Februari 9, 2022 21:29 MYT
Februari 9, 2022 21:29 MYT
Bekas ketua jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, mengesahkan bahawa dia menghantar permohonan untuk menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan.
Malah, pengendali berusia 44 tahun itu juga telah menghadiri sesi temu duga bersama Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donell.
Wan Mustaffa mengesahkan perkara itu dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.
"Sewaktu perbincangan bersama pengarah teknikal, Encik Scott O'Donell, dia bertanyakan kepada saya tentang banyak perkara, antaranya nilai tambah yang bolah saya bawa kepada pasukan kebangsaan seandainya saya terpilih.
"Saya menyenaraikan semua pengalaman saya, di mana saya pernah dua tahun dalam pasukan Harimau Malaya (sebagai penolong jurulatih) di bawah Dollah Salleh, dua tahun mengendalikan pasukan UiTM FC, dan saya juga pernah berkhidmat di bawah jurulatih Frank Bernhardt selama dua tahun selain E Elavarasan dan Fandi Ahmad.
"Selain itu, saya juga pemegang ijazah dalam jurusan komunikasi massa, jadi saya boleh memastikan komunikasi yang baik di antara barisan pemain dan barisan kejurulatihan, sama ada di dalam atau di luar padang.
"Ia juga termasuk komunikasi di antara pasukan kebangsaan dan kelab-kelab di negara ini," katanya.
Lima calon lain yang disenarai pendek bagi menjawat tugas pembantu Kim Pan-gon adalah Zainal Abidin Hassan, Elavarasan, Wan Rohaimi Wan Ismail, Firdaus Tan Aziz dan Ismail Ibrahim.