Virgil van Dijk: Liverpool dalam krisis?
Shaiful Shamsudin
Januari 18, 2025 09:46 MYT
Januari 18, 2025 09:46 MYT
Virgil van Dijk berkata prestasi Liverpool yang baru-baru ini sekadar mencatatkan tiga kemenangan dalam tujuh perlawanan membuktikan betapa sengitnya saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan bukannya The Reds yang bergelut.
Liverpool terikat 1-1 dalam pertemuan menarik dengan Nottingham Forest di pertengahan minggu ini yang mengecilkan jurang pendahuluan mereka di puncak kepada empat mata selepas kemenangan Arsenal ke atas Tottenham 24 jam kemudian.
Skuad kendalian Arne Slot itu kecundang kepada Spurs dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL), manakala seri dengan Manchester United di Anfield.
Begitupun, Van Dijk menegaskan bahawa walaupun gagal menang dalam tiga perlawanan pertama mereka pada 2025, The Reds akan terus berjuang, bermula dengan kunjungan ke Brentford.
"Ooh, jadi kami dalam krisis sekarang?" selorohnya apabila prestasi Liverpool dibangkitkan.
“Ia disebabkan EPL merupakan kancah liga yang sangat sukar di mana anda akan menentang lawan yang sangat bagus.
“Ia sentiasa sukar, sama ada dengan Manchester United di tempat sendiri, pengurus baru mereka dan pelan permainan yang mereka tunjukkan, khususnya menentang kelab yang lebih besar.
“Setiap perlawanan adalah sukar, kami perlu mencari jalan untuk menang dan saya fikir jika kami bermain seperti yang kami lakukan dalam separuh masa kedua dan terus berjuang, terus mencuba, terus mencari peluang, maka saya sangat yakin kami akan menjaringkan gol juga.
"Sebagaimana yang telah kami lakukan sepanjang musim ini."