LIGUE 1

Vasilyev dipecat sebagai naib presiden Monaco

Penulis Jemputan 15/02/2019 | 02:47 MYT
Monaco mengumumkan pemecatan Vadim Vasilyev sebagai naib presiden dan pengarah urusan selepas enam tahun menabur bakti di kelab itu.
Presiden kelab, Dimitry Rybolovlev, memuji Vasilyev, 53, atas usahanya di Principality tetapi menegaskan perubahan perlu dilakukan dalam usaha mengakhiri "krisis" di Stade Louis II.
Di bawah pengaruh Vasilyev, Monaco muncul juara Ligue 1 dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) pada 2017, namun kehilangan pemain bintang seperti Kylian Mbappe menyaksikan mereka kini terperosok di tangga ke-18 selepas 24 perlawanan musim ini.
Bulan lalu, kelab berkenaan melantik semula Leonardo Jardim sebagai pengurus setelah memecatnya pada Oktober dan menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada Thierry Henry -- hanya menang empat kali dalam 20 perlawanan yang dikemudinya.
Vasilyev bertanggungjawab sepenuhnya atas "tempoh sukar" kelab itu dengan berkata: "Baru-baru ini, saya terlibat secara aktif dalam mengurus dan menyelesaikan masalah kelab.
"Saya mengambil beberapa keputusan yang sukar tetapi perlu.
"Terutama sekali saya ingin memohon maaf atas kesilapan yang dibuat pada Oktober lalu dengan memecat Leonardo Jardim. Saya telah memintanya untuk kembali dan saya bersetuju dengan semua cadangannya untuk mendapatkan pemain baru ketika jendela perpindahan musim sejuk."
Tambah Rybolovlev: "Sudah tiba masanya untuk pembaharuan dan perubahan ini tidak hanya berlaku ke atas tenaga kerja, malah kepada barisan pengurusan. Jadi, saya membuat keputusan yang sangat sukar dengan melepaskan peranan Vadim Vasilyev sebagai naib presiden dan pengarah urusan kelab.
"Saya sangat berterima kasih atas semua usaha yang dilakukannya dan berharap yang terbaik untuknya pada masa depan."
;