Ruud Van Nistelrooy sudah mula merencana rombakan di Leicester City untuk persiapan perlawanan pertama kendaliannya menentang West Ham.

Bekas penyerang itu menyertai The Foxes hanya beberapa hari selepas meninggalkan peranan sementaranya di Manchester United dan menggantikan Steve Cooper, yang hanya mengendalikan 15 perlawanan.

Leicester yang menduduki tangga ke-16 dengan 10 mata daripada 13 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), bertindak melantik Van Nistelrooy selepas tewas 1-4 kepada Brentford di bawah pengurus sementara, Ben Dawson, hujung minggu lalu.



“Dalam tempoh dua hari memang sukar untuk melakukan banyak perubahan tetapi kami telah mula menerapkan perubahan dalam gaya permainan, sesi latihan, struktur pasukan, sedikit demi sedikit dan mula membina asas pasukan yang bermotivasi tinggi yang boleh bersaing dalam hal ini," kata bekas pengurus sementara Manchester United itu.

"Saya mengadakan pertemuan dengan pemain dan ia adalah perkara pertama yang perlu ditangani. Ia mengenai situasi yang kami hadapi, cabaran yang kami hadapi dan apa yang perlu untuk keluar daripada situasi sukar ini."